oleh: Profesor Madya Dr Ghazali Din.
Putarajaya : Konsep Ulul Albab yang meliputi elemen Quranik, Ensiklopedi dan Ijtihadik mampu melahirkan pelajar tahfiz yang berketerampilan dan hebat untuk memartabatkan dunia pendidikan.
Dalam majlis Slot Perkongsian Khas Bersama Tan Sri Idris Jusoh selaku Pengasas Ulul Albab yang kini sebagai Pengerusi Felda bertajuk “Ulul Albab : Impian Menjadi Realiti” yang diadakan di Putrajaya Ahad lalu beliau berkata konsep itu tercetus ketika membangunkan sekolah imtiaz di Besut, Terengganu.
“ Imtiaz memberi penekanan melahirkan pelajar Tahfiz yang menguasai sains tulen meliputi biologi, fizik dan kimia untuk membuktikan Islam dan Sains mempunyai kaitan yang sangat rapat.
Beliau turut gembira apabila Pusat Ulul Albab UPSI mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar modul yang dibangunkan universiti pendidikan itu dapat dikembangkan dalam kalangan guru-guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Idris berkata beliau menjadikan beberapa pusat pendidikan tahfiz di luar negara sebagai panduan dalam membangunkan sekolah imtiaz dan model tahfiz sains di negara ini.
Beliau mengakui banyak mendapat inspirasi penubuhan imtiaz daripada kunjungan ke beberapa pusat tahfiz luar negara antaranya di United Kingdom, Pakistan, Indonesia serta Turki.
Quranik menjadi tunjang dalam model yang dibangunkan PUA untuk diterjemahkan dalam elemen Ensiklopedik dan Ijtihadik.
“Apa yang ditekankan dalam modul ini adalah kecemerlangan yang luar biasa untuk anak-anak tahfiz yang menguasai sains tulen yang mampu mengaitkan dengan apa yang tercatat dalam Al-Quran dan mencapai tahap Ulul Albab,” katanya.
Hadir sama Pengarah Akademik UPSI, Prof Dr Abdul Rahim Razalli serta Pengarah PUA UPSI, Dr Sakinah Salleh. Mantan pengetua pertama Imtiaz Besut, Terengganu, Dr. Wan Ahmad Zakry Wan Kamaruddin, selain wakil Bahagian Pendidikan MARA, Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA), wakil Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM ) serta wakil Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
“Saya melihat UPSI sebagai institusi pendidikan yang sesuai untuk menggerakkan usaha ini supaya model Ulul Albab yang dapat dimanfaatkan di MRSM, sekolah-sekolah serta tadika KEMAS,” katanya.
Katanya, generasi yang dibentuk menerusi program Ulul Albab bersifat kepelbagaian disiplin (Multi Disciplinary) yang bukan sahaja boleh berkata, malah boleh melihat dan boleh merasa untuk sampai kepada tahap kecemerlangan dan kecerdikan berasaskan Al-Quran.
“Kita ingin lahirkan pelajar tahfiz yang cemerlang dan berkualiti yang mengamalkan konsep Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik serta menguasai Artificial Inteligence selaras dengan era IR 5.0.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin berkata PUA sudah menerbitkan modul berasaskan QEI )Quranik, Ensiklopedia, Ijtihadik) yang dibangunkan oleh Pakar Rujuk UPSI membabitkan pelbagai disiplin, menubuhkan Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSua), program Ikon Ulul Albab serta program pensijilan profesional untuk mahasiswa yang terpilih.
UPSI, katanya, akan menjalin ukhwah dengan semua agensi yang ingin bekerjasama menggunakan modul yang dibangunkan di agensi-agensi yang berminat.
Sementara itu Pemangku Pengarah PUA, Dr Sakinah Salleh berkata pakar-pakar rujuk UPSI turut berkongsi konsep modul QEI untuk wakil-wakil MARA, KPM dan UniKL pada hari sama di Putrajaya.
“Baru-baru ini PUA menerima kunjungan 26 kakitangan pentadbiran daripada Assalam Smart School Yala, Thailand dan 103 dari Sekolah Phatna Wittaya Yala, Thailand sempena program Kunjungan Ilmiah Pentadbiran Eksplorasi Rentas Akademik dan Budaya: Explore The Beauty of Malaysia,” katanya. – ePena
Turut diterbitkan di: Buletin TV3