oleh: Nor Hayati Aziz (Pegawai U-Media Pusat Ulul Albab)
TANJONG MALIM – 23 FEBRUARI 2023, Pusat Ulul Albab menerima kunjugan 26 orang kakitangan Pentadbiran daripada Assalam Smart School Yala, Thailand dalam program Kunjungan Ilmiah Pentadbiran Eksplorasi Rentas Akademik dan Budaya: Explore The Beauty of Malaysia yang diadakan di Bilik Seminar Aminuddin Baki, Blok 9, Fakulti Pembangunan Manusia, Kampus Sultan Azlan Shah.
Program yang berlangsung bermula 22 hingga 25 Februari 2023 ini antara lainnya berfokus kepada perkongsian ilmu penubuhan sekolah swasta yang disampaikan oleh Dr. Wan Ahmad Zakry Wan Kamaruddin dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Program ini telah disusun bagi membekal dan meningkatkan kemahiran pengurusan dan pentadbiran, pengajaran dan pembelajaran serta dapat mewujudkan komunikasi berkesan antara para pentadbir sekolah.
Peserta juga didedahkan tentang kurikulum pendekatan neoterik bersama Dr. Anis Nazihah dari Fakulti Sains Matematik UPSI.

YM Raja Azman Raja Kadir, dari SMK Kemuning juga Penasihat Imtiaz Melaka berkongsi pengalaman dan kemahirannya dalam pengurusan kewangan dan ko-kurikulum sekolah swasta.
Menurut Penyelaras 2 Pusat Ulul Albab Dr. Sakinah Salleh berkata, program ini dapat meningkatkan kredibiliti para pentadbir dan pendidik dalam bidang pengurusan dan pentadbiran sekaligus dapat membantu dalam menyelesaikan masalah di institusi pendidikan dengan kritis
Kejayaan program ‘Kunjungan Ilmiah Pentadbiran Eksplorasi Rentas Akademik dan Budaya: Explore The Beauty Of Malaysia’ ini sejajar dengan matlamat Pusat Ulul Albab untuk menjadi pusat rujukan serantau. Matlamat program ini adalah untuk mengetengahkan konsep Ulul Albab sebagai satu solusi kepada pembentukan generasi akan datang.
Program ‘Kunjungan Ilmiah Pentadbiran Eksplorasi Rentas Akademik dan Budaya: Explore The Beauty Of Malaysia ini telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Norkhalid Salimin, Timbalan Naib Canselor (HEPA) dalam ucapannya, beliau berkata kunjungan ini sebagai salah satu program yang amat baik dalam memantapkan lagi kualiti pentadbir dan pendidik pada masa hadapan dengan menampilkan panel-panel yang mahir dalam bidang masing-masing, sekaligus memberikan satu lagi nilai tambah kepada warga pentadbir ujarnya.