oleh: Aldianie Alim (KUO)
3 Mac 2023, Tanjung Malim – Kolej Ungku Omar dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) menganjurkan aktiviti Gotong-Royong Perdana: Santun Mahasiswa melalui program Qalbu yang bertempat di Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) melibatkan semua Pusat Tanggungjawab (PTj) di bawah portfolio Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).
Menurut Pengerusi Majlis Pengetua Kolej-Kolej Kediaman UPSI, Prof. Madya Dr. Nizam Nasrifan yang juga merupakan pengetua Kolej Ungku Omar, program Qalbu yang dilaksanakan mengikut penggiliran ini memberi peluang bukan sahaja dalam kalangan PTj malah pelajar dilibatkan juga bagi mengendalikan pengisian program sekaligus dapat membina satu hubungan yang erat antara satu sama lain.
Aktiviti yang dijayakan termasuklah sesi senam sihat zumba yang dikendalikan oleh Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar serta agenda utama Qalbu yang diadakan adalah gotong-royong pemindahan perabot ke Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) bagi penambahan kapasiti penginapan pelajar.
Menurut Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Maskana Ahmad menyatakan rasa bangga terhadap penglibatan aktif semua PTj dan Majlis Mahasiswa Kolej.
Tambah beliau lagi, proses pemindahan perabot di kolej-kolej BLMT bagi tujuan penambahan kapasiti yang dilakukan telah bermula di Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) seterusnya akan diteruskan di Kolej Ungku Omar dan Kolej Awang Had Salleh.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek ubahsuai dan naiktaraf Kolej Za’ba dan Kolej Aminuddin Baki sedang giat dilaksanakan juga untuk menampung keperluan pelajar menginap di dalam kampus yang
dijangka siap pada tahun ini.
Ini merupakan Fasa ke-3 bagi proses penambahan kapasiti penginapan di Kolej Kediaman BLMT yang diharapkan boleh membantu dan meringankan beban mahasiswa mendapatkan kemudahan penginapan seterusnya menjaga kebajikan pelajar UPSI terutamanya mereka yang datang daripada golongan berkeperluan.
Kapasiti penginapan sedia ada di kolej-kolej ini boleh menempatkan seramai 1728 orang pelajar dalam satu-satu masa, dan dengan aktiviti yang dilaksanakan ini setiap kolej BLMT boleh menampung hampir 2400 orang pelajar dalam satu sesi perkuliahan bagi peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda dan Diploma.
“Program Qalbu sebegini amat wajar diadakan selaras dengan KPI Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff kerana mampu menjalinkan kerjasama dan kesefahaman antara staff UPSI dengan pelajar sendiri” katanya. – ePena