oleh: Noraini Aminuddin
foto: Fisol Ahmad (unit foto Bahagian Komunikasi Korporat UPSI)
Tanjong Malim – Bagi menyokong hasrat kerajaan melindungi khazanah negara serta melestarikan pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menandatangani perjanjian persefahaman dengan Jabatan Warisan Negara (JWN) menawarkan program dalam bidang Peradaban Melayu kepada Kakitangan Jabatan Warisan Negara.
Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, UPSI optimis menjalankan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pendidikan serta melakukan jalinan kerjasama serta transformasi ilmu dan kepakaran di antara kedua-dua organisasi tersebut.
“Sebagai unversiti peneraju kebitaraan pendidikan tanahair, adalah menjadi tanggungjawab universiti untuk membangunkan modal insan dalam konteks penyelidikan, perundingan, inovasi dan pengkomersilan yang cemerlang agar selari dengan misi pusat pengajian pendidikan tersohor negara,”
“UPSI akan menawarkan program Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Peradaban Melayu melalui laluan APEL Q atau secara Pesisir kepada kakitangan JWN di seluruh negara serta calon-calon pelajar yang berminat”, jelasnya dalam suatu kenyataan.
Menurut Md Amin lagi, kerjasama ini bakal melibatkan perkongsian kepakaran dalam mengembangkan ilmu berkaitan dengan sejarah, budaya dan alam semula jadi serta sains dan teknologi.
“Bagi memperluaskan lagi penggunaan warisan seni dan budaya dalam pendidikan, elemen-elemen ini perlu diterapkan dalam semua bidang kokurikulum dan pendidikan”, ujarnya.
Sementara itu Pengarah Akademik & Antarabangsa UPSI, Profesor Dr. Abdul Rahim Razalli berkata kerjasama yang diberikan merupakan satu peluang yang besar untuk UPSI dalam perkembangan seni dan budaya bagi daerah Muallim dari aspek pendidikan serta pelancongan kerana telah lahirnya beberapa tokoh-tokoh pejuang di Tanjong Malim sekaligus menjadi sumber rujukan utama bagi bidang tersebut.
Sementara itu, turut hadir Pengarah Institut Peradaban Melayu (IPM), Profesor Dr. Tajul Shuhaizam Said berhasrat untuk melegasikan semula peradaban bangsa dalam negara.
“IPM UPSI akan membantu memperkukuhkan budaya warisan tanahair dalam bidang pendidikan dengan mencari gali peradaban dan amalan untuk dibukukan sekaligus menjadi sumber kajian dan rujukan bagi generasi akan datang”, jelasnya lanjut.
Semalam UPSI antara 11 buah universiti awam yang terpilih menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk memperkukuhkan kajian berhubung khazanah warisan negara.