Oleh: Afiqah Ibrahim
Tanjong Malim: Exco Perpaduan dan Integrasi Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid telah menganjurkan Forum: Malaysia In the Eyes of the World di bawah Program Malaysia Unrevealed: A Global Perspective yang berkonsepkan webinar. Program ini bertujuan bagi menyuntik semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat dengan memberi kesedaran mengenai keistimewaan Malaysia disamping mendedahkan dan mendidik masyarakat mengenai negara Malaysia. Forum yang dilaksanakan pada 26 Ogos 2023 ini melibatkan beberapa orang panel yang terdiri daripada mahasiswa tempatan dan antarabangsa dari dalam dan luar negara.
Menurut Penasihat Program merangkap perasmi Forum: Malaysia in the Eyes of the World, Cik Nurul Najwa Binti Mohamad, “memandangkan kita dalam bulan kemerdekaan forum sebegini adalah salah satu inisiatif sebagai suntikan semangat kepada kita. Harapan saya agar kita sama-sama dapat mengaut ilmu dan manfaat daripada perkongsian oleh panel kita dan saya juga berharap semua mahasiswa dapat mengambil makna pemerkasaan Siswa Madani.”
Forum yang dijalankan menerusi aplikasi Youtube Kolej Harun Aminurrashid selama satu hari secara kumulatifnya disertai seramai 1803 orang penonton terdiri daripada mahasiswa Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan mahasiswa Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) seluruh Malaysia serta orang awam. Pihak penganjur telah menjemput Oga Morita daripada Tokyo University of Foreign Studies selaku panel pertama, saudari Nur Ilmi Wathoni daripada Persatuan Pelajar Indonesia UPSI selaku panel kedua, saudari Nurul Ummi Binti Muhammad Razak yang merupakan Yang Dipertua Global Buddies UPSI selaku panel ketiga dan saudara Muhammad Shamir bin Zulkifli sebagai moderator Forum: Malaysia In the Eyes of the World. Penampilan khas tiga orang panel yang cukup hebat ini adalah bagi memberi perkongsian dan kefahaman berkaitan perspektif mereka terhadap negara Malaysia serta perbezaan di antara budaya tempatan dan global.
Program ini menyahut hasrat tema sambutan Hari Kebangsaan kali ke-66 iaitu Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan seperti yang diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil pada 27 Mei 2023. Objektif program ini yang bertujuan menyuntik semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat membawa kepada makna tema sambutan Hari Kebangsaan kali ini iaitu semangat perpaduan dan patriotisme yang tinggi serta membenihkan rasa cinta yang mendalam kepada negara.
Selaku Pengarah Program, Saudara Abbas Ali Iftikhar Hussain berharap agar ilmu yang diperoleh melalui program ini dapat mendorong penghuni Kolej Harun Aminurrashid dalam membantu untuk memperkasakan lagi Siswa Madani di kolej dan peringkat Universiti seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Malaysia.