Oleh: Noraini Aminuddin (FPE)
Tanjong Malim: Bagi memantapkan ilmu keusahawanan Guru-guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan memacu kebolehpasaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), Fakulti Pengurusan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan satu Projek Program Pemindahan Ilmu ‘Knowledge Transfer Programme’ bertempat di Smart Classroom FPE, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), UPSI pada 17 Ogos yang lalu.
Program ini merangkumi penglibatan dua buah sekolah di Daerah Muallim yang terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Behrang 2020 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari yang menghimpunkan seramai 20 penyertaan guru PPKI bagi perkongsian ilmu keusahawanan. Ini sekaligus menyebarkan aspek potensi keusahawanan dan motivasi bagi meningkatkan kebolehpasaran MBPK sebagai sokongan untuk memulakan sesuatu perniagaan.
Menurut Ketua Program, Profesor Madya Dr. Azila Abdul Razak, selaras dengan perkembangan teknologi dunia digital revolusi industri 4.0, para peserta turut diberi pendedahan ilmu berkaitan keusahawanan digital yang meliputi penggunaan aplikasi platform Shoppee, Facebook, Tiktok dan seumpamanya.
“Program yang akan dijalankan sebanyak tiga fasa ini dijangka akan memberi impak dalam meningkatkan penerapan ilmu keusahawanan di kalangan guru-guru PPKI dan MBPK serta meningkatkan motivasi bagi golongan MBPK yang berjaya sebagai usahawan digital selepas tamat persekolahan nanti di mana fasa ini meliputi program perkongsian ilmu keusahawanan, program lawatan penanda aras di premis perniagaan Orang Kurang Upaya (OKU) dan program kebolehpasaran MBPK di industri yang dibiayai sepenuhnya oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, UPSI di bawah Geran Pemindahan Ilmu (2023-0078-PP-01),”jelasnya.
Perkongsian ilmu ini turut melibatkan empat orang pakar bidang seperti Dr. Nurul Fadly Habidin dari Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Dr. Hasrul Hosshan dari Pusat Kajian Kurang Upaya dan Komuniti Inklusif, Fakulti Pembangunan Manusia, Ts. Dr. Muhamad Firdaus Ramli dari Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif, serta Puan Nadzimah Idris dari Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sebagai penghargaan di atas penglibatan dan komitmen yang diberikan, program ini diakhiri dengan majlis penyampaian cenderahati dan sesi bergambar kenangan bersama guru-guru yang hadir dan juga sijil penyertaan turut diberikan.