Oleh: Sajarutul Nor Kasim
Pulau Pangkor – Cakna dengan keindahan dan kebersihan alam sekitar, seramai 23 kakitangan Pejabat Karang Mengarang (PKM) dan dua kakitangan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil inisiatif melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) membersihkan kawasan di sekitar pantai Teluk Nipah baru-baru ini.
Pengarah Pejabat Karang Mengarang, Dr. Nordiana Hamzah berkata, program CSR tersebut dilaksanakan sempena Retreat PKM yang berlangsung pada 27 hingga 30 Ogos 2023 lalu di Purnama Beach Resort, Pangkor.
Menurut beliau, program itu diadakan bagi mendekati dan berbakti kepada masyarakat, memupuk kesedaran dan rasa cinta terhadap alam sekitar sekali gus mencantikkan dan mengekalkan ruang awam,.disamping mengeratkan hubungan semangat kekeluargaan sesama warga jabatan.
“Kita memulakan aktiviti membersihkan pantai pada jam 4.00 petang termasuk mengutip sampah sarap, sisa-sisa makanan dan minuman serta barangan terbuang di sepanjang pesisir pantai itu.
“Saya amat berbangga dengan komitmen dengan semua warga terlibat kerana sanggup turun padang menjayakan CSR ini dan semoga dengan usaha kecil ini dapat menyumbang kepada keseimbangan ekosistem kawasan sekitar,” katanya.
Tambah beliau, walaupun jadual retreat 2023 padat dengan pelbagai agenda dan aktiviti yang telah disusun, semua kakitangan amat komited dan bersemangat untuk mencapai target Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff
Sepanjang empat hari majlis berlangsung, pelbagai pengisian program yang diadakan ialah sesi “Navigating Tomorrow : Insights From The Leader’s Compas” oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), yang disampaikan oleh Pengarah PKM.
Selain itu diadakan sesi Bersama Bahagian Audit Dalam yang disampaikan oleh Ketua, Encik Hanafi Junit, Sesi Hala Tuju dan Sasaran PKM Ogos- Disember 2023, Refleksi Aktiviti dan Perbincangan, aktiviti aerobik, zumba dan sukaneka, lawatan merentas Pangkor, aktiviti mengelilingi pulau dan snorkeling serta majlis makan malam.