Oleh: Zatil Hidayah Hamizi (Pendidik NCDRC)
Tanjong Malim: Guru-guru pelatih program Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pendidikan Awal Kanak-kanak UPSI yang menjalankan latihan mengajar di NCDRC telah menganjurkan Program Kids Playland: Fun Learning pada 14 September 2023 dengan melibatkan seramai 92 orang kanak-kanak di Taska NCDRC bermula pada jam 8.30 sehingga jam 11.30 pagi di Dewan Jauhar, NCDRC.
Program ini dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Norazilawati Abdullah, Timbalan Pengarah (Penyelidikan & Inovasi) NCDRC. Beliau memuji usaha murni oleh guru-guru pelatih dalam menganjurkan program ini serta memberi semangat dan galakan kepada mereka untuk terus aktif dan maju ke hadapan dalam apa jua perkara yang dilakukan.
Selain itu, beliau juga mengucapkan rasa bangga kepada semua kanak-kanak yang hadir dan berani menyahut cabaran pada setiap sudut pembelajaran yang disediakan.
Program Kids Playland: Fun Learning ini berbentuk eksplorasi di mana setiap sudut akan memfokuskan kepada 6 bidang dalam Kurikulum Permata Negara iaitu Perkembangan Bahasa, Komunikasi dan Literasi Awal, Perkembangan Awal Matematik dan Pemikiran Logik, Perkembangan Deria dan Pemahaman Dunia Persekitaran, Perkembangan Fizikal dan Psikomotor, Perkembangan Kreativiti dan Estetika dan Perkembangan Sahsiah, Sosio-Emosi dan Kerohanian.
Selain itu, program ini dapat dapat memberikan pengalaman secara terus kepada kanak-kanak dalam pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna serta pengalaman berharga kepada guru-guru pelatih dalam melaksanakan sesuatu program yang melibatkan peserta kanak-kanak dalam bilangan yang ramai.
Kanak-kanak lebih bersedia untuk mengambil bahagian dan mengambil risiko melalui program ini di samping keinginan untuk meneroka juga tinggi disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya.
Berseronok sambil belajar juga membantu kanak-kanak dalam mengekalkan maklumat dengan lebih baik kerana penerokaan kendiri oleh kanak-kanak meningkatkan daya pemahaman yang mendalam berbanding aktiviti pembelajaran yang pasif.