Sebenarnya masih ramai yang tidak mengetahui tentang kewujudan Majlis Pegawai Integriti (MPI) dan Majlis Penasihat Undang-Undang (MPUU) Universiti Awam di Malaysia. Kedua-dua majlis ini bertindak sebagai platform dan wadah yang jelas bagi membincangkan isu pentadbiran dan perkhidmatan universiti yang lebih cekap, berdisiplin berdasarkan fungsi teras yang khusus serta usaha pencegahan kes salah laku dan pencegahan rasuah bagi kegiatan rasuah di Universiti Awam melalui pengukuhan dan pembudayaan integriti serta pengamalan nilai-nilai murni dan etika.

Pada 05 Jun 2023 sehingga 07 Jun 2023, bertempat di Residensi, UTM Kuala Lumpur buat julung kalinya telah berlangsung dengan jayanya Bengkel Penyelarasan Majlis Pegawai Integriti (MPI) dan Majlis Pegawai Undang-Undang (MPUU) : Akta 605 yang menghimpunkan semua Pegawai Integriti dan Pegawai Undang-Undang di Universiti Awam bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturrahim antara kedua-dua majlis disamping membincangkan isu-isu yang dihadapi oleh Universiti mengenai praktis dan amalan terbaik dalam mendepani cabaran integriti dan hal ehwal perundangan di Universiti masing-masing.

Bengkel ini juga adalah satu usaha pendekatan dan perkongsian mengenai tatacara pengendalian untuk mengawal disiplin staf yang melibatkan elemen-elemen pelanggaran peraturan dan akibat daripada pelanggaran peraturan berdasarkan kepada Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib Dan Surcaj) atau dikenali sebagai Akta 605. Seperti sedia maklum, pengurusan tatatertib memerlukan pemahaman dan penghayatan mendalam mengenai falsafah, konsep dan matlamat tindakan tatatertib dikenakan selaras Akta 605 dan pemakaian ceraian mengenai prosedur tatatertib dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM).

Objektif kursus ini dirangka untuk memberi pemahaman yang mendalam tentang undang-undang yang digunapakai iaitu Akta 605 dengan melihat isu sebenar kes-kes yang berlaku di Universiti Awam. Ia juga adalah suatu pencerahan kepada peranan dan tanggungjawab Pegawai Integriti dan Pegawai Undang-Undang Universiti dalam pengurusan tatatertib, teknik mengurus serta melaksanakan tindakan tatatertib berdasarkan perkongsian isu semasa terutamanya kes-kes yang pernah dicabar di mahkamah.

Pengisian bengkel ini adalah tertumpu kepada skop Isu Konflik Kepentingan: Kajian Kes Mahkamah di mana perkongsian mengenai kes sebenar yang berlaku di mahkamah berhubung konflik kepentingan, Perbincangan Garis Panduan Seksyen 8, Akta 605 di mana kes-kes khas yang melibatkan lantikan daripada Menteri serta ceraian mengenai prosedur tatatertib dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) yang sedikit bercanggah dengan Akta 605 dari sudut pengurusan tatatertib juga dibahas dan dibincangkan untuk mendapatkan suatu keputusan yang kolektif.

Hasil bengkel yang dijalankan selama 3 hari 2 malam ini telah menghasilkan satu resolusi untuk diangkat ke pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di dalam masa terdekat ini. Selain daripada perkongsian idea dan pandangan melalui medan perbincangan antara kedua-dua majlis, satu perlawanan Bowling antara MPI vs MPUU juga telah diadakan pada 05 Jun 2023 bagi mengeratkan hubungan silaturrahim di antara semua pegawai yang terlibat. Semangat berpasukan setiap kumpulan ditonjolkan melalui perlawanan bowling yang diadakan.

Menurut Pengerusi bersama bengkel iaitu Dr. Khairul Anuar bin Che Azmi (Pengerusi MPUU yang juga Penasihat Undang-Undang, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Puan Nor Aishah binti Samah (Pengerusi MPI) yang juga Ketua, Unit Integriti Universiti Malaya (UM), bengkel seumpama ini wajar dilaksanakan setiap tahun untuk membincang isu yang dihadapi serta cadangan penambahbaikan kepada tadbir urus terbaik setiap Universiti Awam.

Penubuhan MPI dan MPUU yang menghimpunkan 20 Universiti Awam ini juga diharap dapat mengekang budaya rasuah daripada berleluasa di universiti sekaligus membantu meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia yang kian merosot iaitu daripada 48 mata pada tahun 2021 kepada 47 mata tahun lalu. Usaha sedemikian juga telah terbukti melalui pembangunan Pelan Antirasuah yang sedang giat berlangsung oleh semua Universiti Awam.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)