Yogyakarta: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini berkolaborasi dengan Universitas Negeri Yogyakarta (UNY), Indonesia dengan termeterainya perjanjian kerjasama yang ditandatangani kedua-dua pihak di Yogyakarta.
UPSI diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff dan Dekan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Dr. Jaffry Zakaria manakala UNY diwakili oleh Rektor Bidang Akademik, Kemahasiswaan dan Alumni, Prof Dr Siswantoyo dan Dekan Fakultas Ilmu Keolahragaan, Prof. Dr. Wawan Sundawan.
Menurut Prof. Dr. Md Amin persetujuan kerjasama antara kedua pihak meliputi kerjasama akademik, penyelidikan bersama, program mobility, pelaksanaan persidangan, lawatan belajar, kerjasama latihan, latihan mengajar, serta pelaksanaan program komuniti.
Beliau berkata UPSI memiliki ramai tenaga pakar dalam bidang sukan, malahan proaktif dalam memajukan prasarana sukan peringkat nasional dan antarabangsa.
“UPSI mengalu-alukan kerjasama yang baik ini sekali gus memberi kebaikan dan manfaat kepada kedua-dua pihak dalam bidang sukan,” katanya.
Selaras dengan aspirasi pengantarabangsaan, UPSI katanya sentiasa meneroka kerjasama lebih luas bukan sahaja di dalam negara, malahan bersama universiti di rantau ini dan dunia.
Prof Dr Siswantoyo dalam ucapannya yakin dengan kerjasama ini kedua-dua pihak dapat meluaskan lagi pengalaman bersama.
“Kami memilih UPSI sebagai universiti pendidikan yang bukan sahaja melahirkan pendidik, namun proaktif dalam membantu memajukan sukan negara Malaysia, “ katanya.
Hadir sama Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd Izwan Shahril; Ketua Jabatan Sains Kejurulatihan FSSK UPSI, Dr. Noorzaliza Osman dan Ketua Jabatan Sains Sukan FSSK UPSI, Dr. Norhazira Abdul Rahim.