Oleh: Hamizan Samsudin

Tanjong Malim – Bahagian Sumber Manusia (BSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) buat julung kalinya telah menganjurkan Persidangan Pengurusan Sumber Manusia 2023 (PERSUMA’23) dengan bertemakan “Pengurusan Sumber Manusia Tonggak Keunggulan Pendidikan” pada 14 September 2023 sehingga 15 September 2023 bertempat di Dewan Konvensyen (Aras 5) dan Makmal Micro Teaching dan Makmal Mega (Aras 4), Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS), UPSI.

Penganjuran persidangan ini adalah kerjasama bersama di antara BSM dengan Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRESTASI) dan Kesatuan Pegawai Am (KPA). Tujuan utama persidangan ini dianjurkan adalah bagi memberi peluang kepada staf Pengurusan dan Profesional (Pentadbir) dan Pelaksana untuk berkongsi idea, pengalaman dan kepakaran masing-masing dalam pelbagai bidang yang sedikit sebanyak akan dapat menyumbang kepada Pengurusan Sumber Manusia yang terbaik.

Persidangan ini berlangsung selama dua hari dan dimulakan dengan perasmian oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff dan ucaptama daripada Pendaftar UPSI, Encik Helmi Zaifura Abdul Rahman dengan tajuk “Good Governance and HR Leadership”.

Sesi ucaptama Pendaftar UPSI

Persidangan ini berjaya menghimpunkan sebanyak 38 orang pembentang yang terdiri daripada kalangan staf pentadbir dan pelaksana di UPSI dengan topik-topik persidangan yang sangat menarik dan dilaksanakan secara sesi selari. Selain persidangan, dua sesi forum juga dilaksanakan dengan kehadiran panel-panel jemputan yang sangat berpengalaman mengikut kepakaran dalam bidang masing-masing.

Pada 14 September 2023, forum yang dijalankan bertepatan dengan tema persidangan iaitu “Amalan Terbaik Pengurusan Sumber Manusia Ke Arah IR 5.0”. Moderator terdiri daripada Dr. Ahmad Wiraputra Selamat dan ahli panel terdiri daripada Encik Wan Mohd Nazir Wan Abdul Wahab, Presiden Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (MASTI) dan Tuan Haji Zulkifli Mohamed, Presiden Gabungan Kesatuan Sekerja Universiti-Universiti Awam Malaysia (GAKUM).

Pada hari berikutnya, 15 September 2023 forum berkisar tentang “Peranan dan Cabaran Kesatuan Ke Arah Transformasi Perkhidmatan Awam”. Moderator terdiri daripada Encik Ikmal Nizam Selamat dan ahli panel terdiri daripada Encik Abdul Rahman Haji Mohd Nordin, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Tuan Haji Zulkifli Mohamed, Presiden GAKUM.

Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff di dalam ucapan perasmiannya menekankan kepentingan peranan pentadbir dan pelaksana di UPSI dalam menyokong usaha yang telah dirangka oleh pihak pengurusan. Menurut beliau, “tanpa pelaksana, pentadbir tidak dapat melaksanakan sesuatu tugas dengan baik, tanpa pentadbir, akademia mahupun kami pengurusan tidak dapat melaksanakan sesuatu urusan dengan cemerlang. Pentadbiran hari ini telah merubah dari top bottom kepada bottom up ataupun secara melatar di mana semua idea, semua pendapat, semua pandangan oleh semua pihak adalah penting” ujarnya lagi.

Selain itu, Md Amin di dalam ucapannya juga menekankan berkenaan kepentingan komunikasi di semua peringkat di dalam organisasi supaya dapat membina sebuah jaringan organisasi yang utuh. Beliau berharap silent communication dihentikan dan semua pihak dapat memberikan pandangan kepada beliau. Di dalam ucapannya lagi, beliau juga berharap agar persidangan ini dapat selalu diadakan kerana ia menyokong kepada matlamat sesebuah universiti iaitu pencerna ilmu-ilmu baharu.

Semoga platform ini dapat menyemarakkan lagi usaha perkongsian dan mampu memberikan sumbangan idea yang terbaik untuk kepentingan bersama. Bahagian Sumber Manusia ingin merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada PRESTASI dan KPA selaku penganjur bersama serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan persidangan ini.

Antara Barisan Pembentang

Barisan jemputan yang hadir
Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)