Oleh: Dr. Tajul Rosli Shuib dan Nor Hayati Aziz
Dalam menyokong hasrat kerajaan untuk memperkasakan bidang TVET dan Tahfiz, Pusat Ulul Albab (PUA) telah menerima jemputan pihak pengurusan Giatmara untuk mengunjungi dua cawangan mereka di Tasek Gelugor, Pulau Pinang dan Lumut, Perak. Kunjungan ini diketuai oleh Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr. Sakinah Salleh disertai oleh pakar-pakar rujuk, pegawai dan kakitangan Pusat Ulul Albab. Selain membina jaringan dan kerjasama antara kedua-dua pihak, kunjungan ini bertujuan membangunkan standard pembelajaran dan pensijilan pengajian TVET-Tahfiz dan Tahfiz-TVET khususnya di bawah kementerian terlibat iaitu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Kunjungan Pusat Ulul Albab disambut oleh En. Mohamed Ferdous Othman, Pengurus Kanan Giatmara Prima Tasek Gelugor serta beberapa pegawai lain,menurut beliau program Tahfiz-TVET yang sedang dilaksanakan di Giatmara adalah kursus Pembuatan Pastri untuk tempoh setahun bagi 1 pengambilan dan mengikut jumlah jam yang diluluskan dengan kapasiti 15 orang setiap sesi. Pusat tahfiz secara spesifiknya berperanan melahirkan para huffaz Al-Quran, walau bagaimanapun lepasan pusat tahfiz masih kurang didedahkan dengan kompetensi pekerjaan. Seterusnya diikuti taklimat berkaitan pengenalan dan perkhidmatan Pusat Ulul Albab yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Ulul Albab. Taklimat ini turut diikuti dengan soal jawab antara kedua-dua pihak bagi membina kefahaman serta ruang untuk membangunkan standard yang sesuai dan boleh diguna pakai.
Kunjungan PUA seterusnya dibawa ke Maahad Tahfiz Akademi Al-Quran As-Syamil (AQSA) sebagai rintis program Tahfiz-TVET yang sedang dilaksanakan oleh Giatmara. Disambut mesra oleh pihak pentadbiran dan murid-murid tahfiz AQSA, kunjungan PUA telah menerima pelbagai maklumat penting berkaitan pelaksanaan, sistem, kaedah pembelajaran, kos, kekuatan serta kelemahan dalam melaksanakan acuan pembelajaran yang sedikit berbeza dengan sekolah tahfiz lain. Pihak GIATMARA dan AQSA turut menyuarakan cadangan serta pandangan kepada PUA agar dapat dipertimbangkan dan dibawa kepada mana-mana saluran yang sesuai.
Destinasi terakhir kunjungan PUA berakhir di Giatmara Lumut di Lekir, Perak. Kunjungan ini disambut oleh pihak pengurusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Ad-Din, Tuan Haji Mohd. Sabri Nordin. Seperti terdahulu, pihak GIATMARA memulakan taklimat ringkas berkenaan pelaksanaan program Tahfiz-TVET yang agak berbeza dengan AQSA. Taklimat diteruskan dengan rakan strategik GIATMARA Lumut iaitu Yayasan Ad-Din yang membentangkan latar belakang yayasan dan sejarah penubuhan sekolah-sekolah di bawahnya termasuk Maahad Tahfiz Quran (MTQ) Vokasional yang mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan murid dan ibu bapa.
Kunjungan ini telah berjaya mengumpulkan maklumat-maklumat penting kepada PUA dan pakar-pakar rujuk bagi menyelaraskan pelaksanaan program-program TVET-Tahfiz dan Tahfiz-TVET khususnya bagi institusi-institusi pendidikan di bawah seliaan KKDW bersama pasukan pakar rujuk yang dibentuk. Kedua-dua pihak akan meneruskan hubungan baik bagi memastikan kerjasama-kerjasama lain pada masa akan datang dapat dilrealisasikan. Pendidikan TVET dan Tahfiz adalah penting untuk mencapai hasrat membekalkan negara dengan tenaga mahir dan profesional masa hadapan yang bersifat holistik dan memelihara Al-Quran di dalam hari mereka. Diharapkan ini menjadi permulaan yang baik serta dapat menyumbang kepada pembangunan negara Madani.