Oleh: Mohd Ali bin Abdul Malek (Pusat Islam) & Nurul Hafizan Abdul Rahman (BKK)
Tanjong Malim, 27 September 2023: Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat UPSI 2023/1445 Hijrah telah diadakan dengan jayanya hari ini dengan membawa tema “Perpaduan Teras Madani“. Majlis ini diadakan bertujuan memperingati kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW dan sirah baginda sewaktu kanak-kanak sehinggalah nabi diangkat menjadi Rasul yang terakhir.
Program ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UPSI, YBhg Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff dan turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin, Pendaftar UPSI, Encik Helmi Zaifura Abdul Rahman, Dekan-dekan Fakulti, Pengarah Pusat Tanggungjawab (PTj) UPSI serta sokongan daripada semua kakitangan.
Majlis anjuran Pusat Islam dengan kerjasama Bahagian Komunikasi Korporat berlangsung dengan meriah di Auditorium, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah yang merupakan acara lazim sambutan pada setiap tahun. Dengan semangat kesepakatan dan perpaduan dalam kalangan kakitangan, setiap PTj berarak diiringi dengan selawat dan puji-pujian ke atas Nabi Muhammad SAW.
Perarakan yang bermula dari hadapan Bangunan Muzium Pendidikan Nasional ke Pintu Utama dan berakhir di Auditorium itu telah disertai seramai 20 kontinjen yang terdiri daripada Jabatan Strategik, Jabatan Pendaftar, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi ), Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Pejabat Timbalan Naib Canselor (HEPA), Fakulti Teknikal & Vokasional, Fakulti Bahasa & Komunikasi, Fakulti Sains & Kemanusiaan, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Fakulti Sains Kejurulatihan, Fakulti Pembangunan Manusia, Fakulti Sains dan Matematik, Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif, Fakulti Komputeran dan META Teknologi, Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda, Perpustakaan Tuanku Bainun, Jabatan Bendahari, Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta tidak ketinggalan penyertaan dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan MMK Kolej Kediaman.
Naib Canselor dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga dengan kemampuan kakitangan UPSI membentuk kesepakatan dan perpaduan yang membawa nama UPSI ke mercu kejayaan.
Majlis ini disemarakkan lagi dengan persembahan pembukaan oleh kumpulan Kesakti. Seterusnya majlis diserikan lagi dengan persembahan Qasidah daripada kumpulan Al-Basya’ir dan pengisian tausiyah daripada Ustaz Muhammad Zaki bin Zakaria. Banyak ilmu berkaitan kelahiran Baginda Nabi SAW yang dikongsikan oleh Ustaz Muhammad Zaki.
Acara kemuncak majlis ini adalah pengumuman dan penyampaian hadiah kepada para pemenang. Semua kategori membawa pulang hadiah wang tunai, Johan RM1000, Naib Johan RM800 dan Ketiga RM 500.
Bagi Kategori Perarakan Terbaik, Jabatan Pendaftar telah dinobatkan sebagai Juara, Naib Johan oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) manakala tempat ketiga disandang oleh Fakulti Sains dan Matematik.
Bagi Kategori Pakaian Terbaik pula Johan telah disandang oleh Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Naib Johan oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (HEPA) dan tempat ketiga oleh Pejabat Bendahari.
Manakala bagi Kategori Selawat & Sepanduk Terbaik telah dimenangi oleh Fakulti Sains dan Matematik, Naib Johan oleh Fakulti Komputeran dan META Teknologi dan tempat ketiga dimenangi oleh Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda.
Semoga dengan adanya program Sambutan Maulidur Rasul ini dapat menyemarakkan lagi rasa kasih dan cinta sekaligus mendekatkan hati semua peserta yang hadir kepada Nabi Muhammad SAW.