Oleh : Noor Sharizad bt Rohaizad (Pendidik Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara)

Tanjong Malim: Setelah sebulan lalu Taska Tadika NCDRC menganjurkan aktiviti pembelajaran bernuansa alam hijau, kini hadir kembali membawa kanak-kanak untuk bereksplorasi lebih tinggi dengan konsep alam semesta di dalam aktiviti pembelajaran. Penerokaan angkasa lepas banyak memberi manfaat terhadap perkembangan sains dan teknologi yang penting pada masa kini.

Solar System Exhibition Programme dianjurkan pada 29 September 2023 oleh guru pelatih pendidikan awal kanak-kanak dari Universiti Pendidikan Sultan Idris yang melibatkan kanak-kanak seawal bayi sehingga enam tahun di Blok D, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Konsep eksplorasi angkasa lepas yang dibawa juga dilihat sangat bertepatan dengan nama-nama kelas yang terdapat di Taska Tadika NCDRC, Blok D yang bertemakan planet.

Menurut Pengarah Program, Nur Irdeena menyatakan bahawa program ini lebih memfokuskan kepada lawatan ke setiap stesen yang melibatkan aktiviti sensori dan perkembangan psikomotor kanak-kanak yang diintegrasikan dengan konsep pembelajaran alam semesta. Antara stesen yang disediakan seperti Blast Off the Rocket, Galaxy Jars, Glowy Rings, Asteroid Rocks, Starry Night Bag, Solar System, Alien Wars, Star Box dan Asteroid Toss.

Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pendidik dan kanak-kanak yang terlibat dalam program ini dan berharap program ini dapat memberikan manfaat dari segi pengetahuan dan pengalaman kepada kanak kanak mengenai alam semesta dan planet.

Selain itu, Pengurus Taska Tadika NCDRC iaitu Puan Norazlina Khairudin yang turut hadir menjalankan aktiviti bersama kanak-kanak menyatakan bahawa program yang dibentuk sangat sesuai dalam menjalani pembelajaran berkonsep 3E (explore, experiment, experience). “Tahniah diucapkan kepada guru pelatih kerana melaksanakan program yang menarik serta kreatif ini. Kanak-kanak juga lebih bebas untuk meneroka bahan mengikut kesesuaian peringkat umur’’, katanya.

Program yang memberikan pengalaman yang bermakna dan menyeronokkan merupakan nadi dalam setiap pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak. Kaedah belajar sambil bermain merupakan satu pendekatan yang berkesan. Selain keseronokan yang dikecapi, kepuasan menjadi elemen yang penting dalam pembelajaran bermakna. Permainan juga merupakan saluran yang dapat mengembangkan perkembangan kanak-kanak ke tahap yang optima.

Pembelajaran alam semesta merangsang pemikiran kanak-kanak yang lebih meluas serta meningkatkan daya imaginasi kanak-kanak ke tahap yang lebih tinggi. Setiap stesen yang dibentuk dirancang dengan rapi supaya ianya bersesuaian dengan tahap umur kanak-kanak yang akan diterokai.

Kanak-kanak 4 tahun dan 5 tahun berada di Blast Off the Rocket Station yang memerlukan tenaga kanak-kanak untuk menarik tali bagi menaikkan roket ke atas bulan

Solar System Exhibiton Programme ini sekali lagi membuktikan bahawa mahasiswa UPSI sememangnya mampu memberikan manfaat yang besar bukan sahaja di universiti, malah dalam dunia pendidikan di Malaysia.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)