Oleh: Ruhana Eshak (IPS)
Tanjong Malim- Institut Pengajian Siswazah (IPS) UPSI telah menganjurkan program Jerayawara Sistem Pengurusan Penyeliaan Pengajian Siswazah pada 2 Oktober 2023 bertempat di Auditorium, Kampus Sultan Abdul Jalil, UPSI.
Jerayawara ini diadakan bagi memberikan gambaran yang jelas kepada staf akademik terutamanya pensyarah yang terlibat secara langsung dengan penyeliaan di peringkat pengajian siswazah. Sistem pengurusan penyeliaan pengajian siswazah ditambahbaik dan diwujudkan sebagai usaha Institut Pengajian Siswazah untuk memastikan penyeliaan yang dijalankan oleh pensyarah berkesan, sekaligus menyumbang kepada pengurangan peratus keciciran pelajar dan menyumbang kepada peningkatan jumlah Graduate on Time (GoT).
Di awal program, peserta dimaklumkan berkaitan maklumat umum berkaitan enrolmen pelajar tempatan dan antarabangsa mengikut peringkat pengajian dan mod pengajian. Selain itu, maklumat berkaitan kekuatan staf akademik fakulti yang ada, kursus-kursus yang dianjurkan oleh IPS bagi membantu pelajar pengajian siswazah, peratus penerbitan pelajar pengajian siswazan dan peratus GoT bagi tahun 2021 hingga 2023 turut dimaklumkan bagi memastikan peserta yang hadir memahami isu-isu semasa berkaitan penyeliaan bagi pengajian siswazah.
Secara dasarnya rekod bagi perjumpaan penyelia dan pelajar yang dikenali sebagai Logbook telah dikemaskini dan ditambahbaik dari segi catatan jam perjumpaan berdasarkan kesetaraan jumlah jam Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) kepada bilangan pelajar di bawah seliaan pensyarah. Pensyarah dan pelajar yang berjumpa secara konsisten sepanjang semester berjalan diharapkan dapat membantu pelajar dalam proses menjalankan kajian dan penyelidikan.
Sistem terbaharu iaitu Sistem Penilaian Penyeliaan atau Supervision Evaluation (SE) telah dibina untuk menilai kualiti penyeliaan penyelia bagi kursus tesis/disertasi. Komponen yang akan dinilai adalah berkaitan perihal penyeliaan dan perihal projek penyelidikan. Bagi memastikan pelaksanaan ini berjaya, pelajar diwajibkan untuk mengisi SE pada setiap semester menggunakan platform UniSIS sebelum menghantar Laporan Kemajuan Pengajian Siswazah (LKPS). Pelajar diberikan tempoh masa untuk membuat penilaian bermula minggu pertama (1) hingga minggu ke-12 pengkuliahan pada setiap semester. Keputusan penilaian SE akan dipaparkan dalam bentuk carta pai ini pada setiap semester bagi memudahkan pensyarah dan pelajar memahami penilaian yang telah dilakukan berdasarkan indikator yang telah disediakan.
Di hujung sesi program, peserta telah diberikan peluang untuk memberikan maklum balas melalui sesi soal dan jawab.