Oleh: Nur Farihah Mohd Fadullah Sahimi (Pegawai Media, Unit Integriti)
Tanjong Malim- Program Segmen Kerohanian bersempena Sambutan Ulang Tahun Badan Pencegahan Rasuah (BPR)/ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama SPRM bersama Unit Integriti, Pusat Islam, Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Masjid Al-Mursyidin Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI pada 1 Oktober 2023.
Program segmen kerohanian ini dihadiri oleh Tuan Ahmad Sabri bin Mohamed, Pengarah SPRM Perak, YDH Toh Paduka Setia Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal bin Hj. Ahmad, Orang Besar Jajahan Muallim bersama isteri, Pegawai Daerah dan Tanah Muallim, Ketua Polis Daerah Muallim serta Profesor Dr. Norkhalid bin Salimin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).
Program ini dilaksanakan bertujuan untuk membina jalinan kerjasama strategik antara SPRM dan UPSI selain dapat membina, memupuk serta melahirkan warga UPSI yang lebih cakna dalam membanteras rasuah di peringkat organisasi dan negara. Selain itu, program seumpama ini memberi ruang untuk menyampaikan mesej bagi warga UPSI untuk terus memupuk budaya berintegriti tinggi dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan.
Antara aktiviti yang telah dilaksanakan adalah solat maghrib dan isyak berjemaah, bacaan yasin dan tahlil yang dipimpin oleh Ustaz Muhammad Majdan bin Ismail, Pegawai Pusat Islam serta sesi ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Hasbi bin Abdul Rahman, Pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan bertajuk “Duit Je: Pilihan Kita Yang Mana” yang telah menyentuh hati semua pendengar dengan kupasan kisah-kisah teladan Nabi Muhammad SAW berkaitan dengan duit yang boleh dijadikan iktibar dan pengajaran kepada semua.
Program diakhiri dengan penyampaian cenderamata dari SPRM dan UPSI serta sesi bergambar. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam menjalin kerjasama yang baik antara UPSI dengan Agensi Awam yang lain.