Oleh: Intan Farahana Abdul Rani
Gopeng: Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) dipilih mewakili daerah Muallim sebagai agensi yang menyediakan Fasiliti Mesra Penyusuan Susu Ibu bersempena dengan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Peringkat Negeri Perak bagi tahun 2023.
Menurut Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Mustafa, pemilihan NCDRC untuk mewakili daerah Muallim adalah sebagai suntikan positif bagi NCDRC membantu dalam menyebarkan dan mempromosikan manfaat penyusuan susu ibu kepada komuniti.
“Pengiktirafan yang diberikan ini menunjukkan komitmen NCDRC untuk membantu ibu-ibu yang menghantar bayi di TASKA bagi keselesaan meneruskan penyusuan susu ibu setelah masuk semula bekerja selepas cuti bersalin”, ujar beliau.
Beliau berkata advokasi kepentingan penyusuan susu ibu peringkat global giat dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Tabung Kecemasan Kanak-kanak Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) bagi memastikan kesejahteraan ibu serta anak.
“Hal ini bertepatan dengan dapatan kajian lepas yang menunjukkan bahawa susu ibu mengandungi nutrien tertentu yang amat kritikal untuk perkembangan otak dan memberi keselesaan dan keselamatan emosi kepada bayi serta meningkatkan hubungan kasih sayang antara ibu dan anak,” katanya.
Pemilihan NCDRC sebagai wakil daerah ini, katanya, amat membanggakan kerana setiap Pusat Kesihatan Daerah (PKD) hanya mencalonkan satu sahaja agensi yang mempunyai fasiliti yang lengkap dan terbaik.
Pemilihan ini dimaklumkan oleh Pegawai Pemakanan, Puan Ili Dalila Tajudin yang yang menguruskan bahagian penyusuan Pusat Kesihatan Daerah Muallim setelah penilaian dilakukan oleh pihak PKD pada bulan Ogos yang lalu.
Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu yang berlangsung pada 7 September 2023 di RTC Gopeng, Perak ini dirasmikan oleh Dr. Sirajuddin bin Hashim, Pengarah Kesihatan Negeri Perak.
Program yang dianjurkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kampar, Cawangan Pemakanan itu bertemakan ‘Mengupayakan Penyusuan Susu Ibu: Perubahan Bermakna kepada Ibu Bapa Bekerjaya’.