Oleh: Arissa Hasya Auni
Kuala Lumpur- Susulan penjenamaan semula Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), UPSI pada awal tahun ini, pengurusan FSKIK melancarkan perubahan kecil logo fakulti yang diadakan bersekali dengan Pertandingan Tenpin Boling Trio Famili Lestari FSKIK (LESTARI 2023) bertempat di Wangsa Bowl, Setia City Mall pada 28 September 2023 lalu.
Menurut Dekan FSKIK, Profesor Madya Ts Dr Muhammad Zaffwan Idris, penjenamaan semula fakulti mendorong kepada perubahan kecil logo fakulti dalam mempamerkan identiti korporat fakulti selaras dengan penjenamaan fakulti yang kini meletakkan aspek kelestarian dalam bidang seni dan industri kreatif.
“Selaras dengan penjenamaan nama fakulti daripada “komputeran” kepada “kelestarian” yang mencakupi bidang seni dan Industri kreatif yang selari dengan dasar Matlamat Pembangunan Lestari (SDG,2015), pihak fakulti kini tertumpu kepada memperkasakan aspek kelestarian di FSKIK,” tambahnya.
Kelestarian ialah konsep dasar yang sangat luas dalam wacana global dan sering dilihat dari sudut tiga “dimensi” atau “tonggak” iaitu alam sekitar, ekonomi dan sosial. Maksud semantik asal “kelestarian” dan “untuk mengekalkan” merujuk kepada keupayaan untuk meneruskan dalam jangka masa yang panjang;
“Pengurusan fakulti membuat penyelarasan semula logo fakulti dengan masih mengekalkan logo FSKIK yang sudah digunakan sejak 2010 dan menggabungkan motto “Manifesting Collobrative Creativity” bersama nama baharu fakulti” kata Dr. Zaffwan.
FSKIK merupakan sebuah fakulti yang penting dalam lipatan sejarah UPSI yang melalui melalui empat era, iaitu Era Fakulti Sains Sosial dan Kesenian (1997-2002), Era Fakulti Seni dan Muzik (2002-2010), Era Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (2010-2022), Era Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (2022-kini). Fakulti ini berkembang secara bertahap dari sebuah unit ke program, seterusnya menjadi jabatan dan kemudian menjadi katalis kepada kewujudan beberapa jabatan dan fakulti.
Dalam pertandingan yang diadakan sebelum pelancaran logo ini, seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan UPSI dan jemputan beradu tenaga dalam sukan boling.
Juara Keseluruhan dimenangi oleh Profesor Madya Ts Dr. Nurul Bahiyah Abd Wahid, dari Fakulti Sains dan Matematik manakala Juara Kumpulan dimenangi oleh Queen Bowlers yang terdiri daripada Dr Nurul Bahiyah, Puan Siti Haslina Hasmek dan Puan Siti Salwa Jamaldin. Kumpulan Gear 3 yang diketuai oleh Dekan FSKIK, Dr Muhammad Zaffwan, Dr Muhammad Abdul Malik Saedon dan Dr Izzal Khairi dari Jabatan Multimedia Kreatif (JMK) menang Juara Pasukan Antara Unit dan Jabatan FSKIK.
Encik Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain dari kumpulan Papaya pula menerima Piala Emas Pegawai Tadbir Fakulti, Encik Amir Asyraf Zulkefli dari kumpulan Santai Jerr dinobatkan sebagai penerima Piala Emas Kelab DIVA BHEA manakala Piala Emas FSKIK pula dimenangi oleh Dr. Muhammad Abdul Malik Saedon dari kumpulan Gear 3. Ketiga-tiga Piala Emas tersebut meletakkan pemain terbaik daripada tiga kategori berbeza sebagai pemenang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa LESTARI 2023 yang juga pengasas Kejohanan Boling Amatur UPSI, Encik Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain, Kejohanan Boling yang dianjurkan itu mempunyai sejarah panjang bermula 2002.
“Sebanyak 34 siri pertandingan dianjurkan yang sehingga kini berjaya menjadi pemangkin kepada kebangkitan pemain amatur untuk menjadi pemain boling terbaik” katanya ketika mengakhiri perbualan.