Oleh: Shahaniza Shamsuddin (NCDRC)

Tanjong Malim- Dalam menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Maulidur Rasul yang dianjurkan oleh Institut Peradaban Melayu (IPM) di Pasar Budaya UPSI, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) turut mengadakan Pertandingan Pakaian Beragam kepada kanak-kanak di sekitar Daerah Muallim pada 30 September 2023 yang lalu.

Lebih daripada 50 orang kanak-kanak berumur 4 tahun hingga 9 tahun tampil memperagakan busana masing-masing yang direka dengan idea-idea kreatif dan penuh warna warni.

Program ini bukan sahaja memperlihatkan kesungguhan kanak-kanak dalam mempersembahkan penampilan mereka tetapi ianya juga mempunyai nilai tambah yang dapat menzahirkan maksud semangat patriotisme untuk dihayati bersama.

Warna Jalur Gemilang dipilih sebagai tema pertandingan kali ini dan berjaya menonjolkan kreativiti peserta dengan kepelbagaian fesyen rekaan yang diperagakan. Kesemua busana yang ditampilkan terdiri daripada busana moden, kontemporari serta tradisional bagi menyerlahkan lagi semangat jiwa merdeka. Dalam pada masa yang sama, pelbagai gaya persembahan dan ragam kanak-kanak yang mencuit hati turut menceriakan lagi suasana.

Ibu bapa yang turut hadir memberi sokongan kepada anak masing-masing

Menurut Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, program sebegini diadakan bertujuan menyemarakkan semangat kebangsaan serta jati diri dalam diri kanak-kanak. Selain itu juga ianya dapat meningkatkan keyakinan kanak-kanak untuk berhadapan dengan orang ramai. Beliau turut berkata, kerjasama dan usaha ibu bapa juga dalam mempersiapkan anak masing-masing mengikut tema yang diberikan seharusnya diberi pujian dan penghargaan.

Beliau berkata kanak-kanak ibarat kain putih dan ibu bapalah yang seharusnya bijak mencorakkan anak-anak itu. Justeru, katanya, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam melahirkan dan menyuburkan semangat kemerdekaan dalam diri kanak-kanak.

“Semangat cintai dan sayangi Malaysia seharusnya dipupuk dan disemai sejak dari awal usia kanak-kanak agar ianya tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Pegarah NCDRC menyampaikan hadiah kepada pemenang

Sebagai penghargaan penyertaan pertandingan ini, pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga masing-masing telah membawa pulang hamper berserta sijil manakala peserta yang kurang bernasib baik turut menerima hadiah saguhati dan juga sijil penyertaan.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)