Oleh : Noraini Aminuddin (FPE) dan Muhammad Hafiz Ekasah (YDP Kelab Keusahawanan UPSI)
Tanjong Malim: Bersempena Financial Literacy Month (FLM) 2023, Financial Education Network (FEN), menjalankan Program Siri Jelajah Bulan FLM 2023 di mana Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah terpilih menjadi tuan rumah pertama bagi siri jelajah ini yang dianjurkan oleh Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) dengan kerjasama Kelab Keusahawanan UPSI bertempat di Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) pada 29 September yang lalu.
Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) merupakan satu platform antara agensi yang terdiri daripada institusi dan agensi yang komited untuk meningkatkan literasi kewangan rakyat Malaysia. FEN memanfaatkan sumber dan kepakaran ahlinya untuk menyelaras, bekerjasama dan secara kolektif memacu usaha dalam menggalakkan inisiatif pendidikan kewangan yang berkesan kepada rakyat Malaysia.
Program Literasi Kewangan peringkat Negeri Perak dengan kerjasama Bank Negara Malaysia ini berperanan dalam memperkenalkan, memberi kesedaran serta meningkatkan tahap pengetahuan berkenaan pendidikan dan pengurusan kewangan kepada mahasiswa dan pensyarah yang hadir seramai hampir 200 penyertaan, antaranya perkongsian berkaitan bahaya ‘scammer’ dan cara mengenali taktik terbaharu ‘scammer’ pada masa kini.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TDHEPA) FPE, Dr. Khalizul Khalid berhasrat melalui program yang diadakan ini dapat membantu dalam mengurangkan masalah berkaitan pengurusan kewangan yang tidak teratur dan lemah disamping peserta lebih memahami kepentingan kewangan peribadi yang sihat dan baik dalam berhadapan ekonomi yang kompleks pada masa kini.
“Terdapat banyak kes kewangan yang merugikan mahasiswa dapat dielakkan dengan pendidikan kewangan yang betul dan dengan adanya program ini sedikit sebanyak dapat membantu mahasiswa untuk meneliti isu-isu ini melalui pendedahan serta langkah-langkah yang lebih proaktif untuk mengelakkan mereka daripada terjerumus menjadi mangsa dalam masalah kewangan pada usia muda”, jelasnya ketika merasmikan program tersebut.
Selain daripada khidmat nasihat yang diberikan seperti kesedaran berkenaan bahaya ‘scammer’ dan cara untuk mengenali taktik terbaru ‘scammer’, Program ini turut diserikan dengan ‘booth’ pameran yang disertai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dan Bank Negara Malaysia serta kaunter bas bergerak yang turut disediakan oleh pihak FEN untuk para pengunjung yang hadir. Antara aktiviti lain yang turut diadakan bagi memeriahkan program tersebut seperti cabutan bertuah, kuiz yang menguji tahap pengetahuan dan pemahaman mahasiswa, pemberian voucher makanan ‘Kentucky Fried Chicken’ (KFC), pelbagai hadiah menarik disediakan serta pelbagai barangan cenderamata eksklusif daripada pihak Bank Negara sebagai penghargaan kepada peserta yang terlibat.
Program ini diakhiri dengan edaran makanan yang ditaja khas daripada pihak Bank Negara Malaysia dan FEN kepada semua pengunjung sebagai tanda penghargaan atas penglibatan dalam menjayakan program ini.