Penulis: Sim Pei-Qi, Creystel Farneylea, Nadia Norizham, Hajar Jamal

TANJUNG MALIM: Seramai 5 orang mahasiswa daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terpilih untuk menyertai program ‘Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah 2023’ yang telah berlangsung selama 18 hari bermula pada 1 September hingga 18 September 2023 iaitu Sobirin Jailani, Nadia Norizham, Creystel Farneylea, Siti Hajar Jamal dan Sim Pei-Qi. 

Program ini merupakan anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa, Kementerian Perpaduan Negara. Proses pemilihan calon Sukarelawan Siswa telah diadakan di peringkat Universiti dan seterusnya calon akan bersaing dengan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara untuk sesi temuduga di peringkat Kementerian Perpaduan Negara. UPSI telah menghantar 15 orang calon yang layak untuk meneruskan sesi temuduga di Kementerian Perpaduan Negara yang diadakan pada 24 & 25 Jun 2023, namun hanya 5 orang wakil dari UPSI telah dipilih untuk menyertai program ini.

Misi Sukarelawan Siswa ini telah berlangsung dengan jayanya di enam buah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) antaranya KRT Limbuak, KRT Terongkongan Laut, KRT Pangkalan Bandau, KRT Singgahmata, KRT Bipisi dan KRT Seri Serbang. Sukarelawan Siswa terdiri dalam kalangan pelajar Universiti Awam, Universiti Swasta, Politeknik, Kolej Komuniti & Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Menurut En. Wong Kin Lun, misi kali ini agak unik berbanding dengan misi-misi YSS yang lain sebelum ini. Konsep perpaduan melalui kesukarelawanan serta usaha memelihara warisan budaya dan adat telah dititikberatkan dalam pelaksanaan misi sukarelawan siswa tahun ini. Sabah telah dipilih sebagai destinasi pertama IWK tahun ini kerana semangat perpaduan di Sabah sangat luar biasa di mana Sabah mempunyai lebih daripada 30 entik dengan 200 lebih subetnik.

Sukarelawan UPSI berkata pelagai aktiviti yang dilaksanakan dapat membantu dalam pembangunan komuniti setempat. Antaranya sukarelawan di KRT Limbuak telah membuat laluan pejalan kaki sepanjang 118 meter yang menghubungkan SK Limbuak dan Pra Sekolah SK Limbuak. Inisiatif ini telah memberi manfaat lebih dari 200 orang penduduk sekitar. Di samping itu, dalam usaha memperkenalkan warisan budaya melalui pengalaman sendiri, sukarelawan telah menjayakan  aktiviti – aktiviti silang budaya seperti majlis keramaian, makanan tradisional , pakaian tradisional, alat muzik tradisional dan bahasa tempatan sekaligus ianya dapat memperkukuhkan hubungan antara sukarelawan dengan komuniti tempatan.

Prof. Dr Norkhalid Salimin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI berharap agar pengalaman dan semangat perpaduan yang diperolehi daripada misi kali ini dapat mendorong mereka untuk menikmati erti sebenar memberi dan berkhidmat kepada komuniti di luar sana.

“Misi Sukarelawan Siswa Ke Sabah Tahun 2023 adalah contoh nyata bahawa mahasiswa dapat memberi sumbangan yang bererti kepada masyarakat, menimba ilmu dan pengalaman untuk kegunaan diri. Ia juga adalah satu usaha yang memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang warisan kita, sambil memperkukuh hubungan antara sukarelawan siswa dengan komuniti tempatan,” ujar beliau.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)