Oleh: Shahaniza Shamsuddin, NCDRC
Tanjong Malim, 6 Oktober 2023 – Sebagai sebuah pusat rujukan kebangsaan dalam asuhan dan didikan kanak-kanak, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) sentiasa memberi ruang dan peluang kepada masyarakat terutamanya pendidik awal kanak-kanak untuk berkongsi kepakaran, amalan terbaik serta pengalaman sebagai proses pembelajaran sepanjang hayat. Baru-baru ini NCDRC sekali lagi diberi kepercayaan oleh Bahagian PERMATA Negara untuk melaksanakan Bengkel Training of Trainers Pendekatan Projek kepada pendidik PERMATA.
Seramai 42 orang pendidik Bahagian PERMATA dari seluruh Malaysia telah berkampung di UPSI dalam menimba ilmu pengetahuan serta mengalami sendiri proses pengajaran dan pembelajaran melalui kaedah pendekatan projek.
Bengkel selama tiga hari ini telah dikendalikan oleh tenaga pengajar daripada NCDRC yang juga merupakan pakar pendekatan projek. Kaedah pengajaran dan pembelajaran melalui pendekatan projek menjadi pilihan pendidik di pusat asuhan kanak-kanak pada masa kini. Melalui bengkel yang dihadiri, peserta diberi pendedahan dan kafahaman mengenai teori, prinsip dan strategi pendekatan projek, kemahiran berfikir aras tinggi serta pemahaman dan amalan pendekatan projek berdasarkan fasa-fasa projek yang terlibat. Para peserta juga diberi peluang melaksanakan projek bersama kanak-kanak agar ianya lebih komprehensif.
Menurut Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) NCDRC, Prof. Madya Dr. Norazilawati Abdullah, program pembangunan latihan sebegini bukan sahaja dapat meningkatkan professionalism pendidik awal kanak-kanak malah dapat membantu pusat-pusat asuhan di Malaysia untuk menyediakan pengajaran dan pembelajaran yang lebih baik kepada anak-anak. Bengkel seperti ini perlu diteruskan supaya guru-guru dapat berkongsi cara pengajaran yang lebih berkesan bagi menjamin pencapaian kanak-kanak yang lebih cemerlang pada masa akan datang.
Beliau turut berkata, NCDRC akan memperluaskan lagi perkongsian kepakaran dan amalan terbaik yang ada di NCDRC terutamanya kaedah pendekatan projek dalam pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak di seluruh Malaysia. Perluasan ini juga diharapkan dapat memperkembangkan penyelidikan, perundingan dan penerbitan berkaitan asuhan, didikan dan perkembangan kanak-kanak.
Rata-rata peserta menyatakan bahawa bengkel ini mampu menjadi platform dalam memantapkan professionalisme dan meningkatkan keupayaan pendidik agar lebih kreatif dan inovatif untuk mewujudkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran ke arah kemenjadian kanak-kanak yang lebih sejahtera.