Oleh: Mohamad Aniq Aieman, Nur Syamimi Athilah dan Nurin Zahreena
Tanjong Malim- Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki Sidang 2023/24 telah mengadakan Program Zumba yang bertajuk “Let’s Get It Started” di Tapak Foodtruck berhampiran Bangunan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program ini turut dihadiri oleh Pengetua Kolej Aminuddin Baki, Prof. Madya Dr. Syed Ismail bin Syed Mohamad, barisan pentadbiran, dan felo Kolej Aminuddin Baki. Program ini mendapat sambutan daripada 50 orang peserta yang turut hadir memeriahkan program ini. Penganjuran program ini adalah hasil kerjasama di antara Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki Sidang 2023/24, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), serta Majlis Perwakilan Pelajar UPSI (MPP) Sidang 2022/23.
Program ini juga turut bertujuan memeriahkan lagi tapak jualan food truck bagi membantu para peniaga menjana pendapatan disamping menggalakkan amalan gaya hidup sihat oleh Masyarakat Muallim. Penganjuran program ini telah diketuai oleh Saudari Nor Sharmila Bt Sa’indin, selaku Pengarah program. Program Zumba “Let’s Get It Started” bukan sekadar program sampingan, tetapi juga satu platform untuk mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan dalam kalangan komuniti Universiti. Aktiviti zumba ini telah diketuai oleh Saudara Mike Carlos Kunjan Anak Jolline, yang berperanan sebagai Ketua Ahli Jawatankuasa Aktiviti bagi Program ini.
Program ini turut memberi tumpuan kepada aspek kecergasan fizikal, dan mampu berfungsi sebagai platform untuk mempromosikan amalan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan peserta. Zumba adalah jenis senaman kardiovaskular yang menyatukan unsur-unsur tarian dengan aktiviti kecergasan fizikal. Peserta menyertai aktiviti ini dengan mengikuti gerakan tarian yang mudah dipelajari, selari dengan irama muzik berentak pantas. Tujuannya adalah untuk meningkatkan kecergasan fizikal, membakar kalori, dan menjadikan pengalaman bersenam lebih menyeronokkan.
Dalam suasana yang santai, program ini sesuai untuk pelbagai tahap kecergasan serta memberi peluang kepada peserta untuk bersosialisasi sambil bersenam. Semoga Program seperti ini dapat diteruskan agar ianya menjadi platform antara warga UPSI dan Komuniti Muallim untuk berkumpul dan menghidupkan suasana Universiti dalam hasrat memasyarakatkan Universiti di Bandar Muallim.