Oleh: Nor Sharmila, Nur Syamimi Athilah, Nurin Zahreena.

Tanjong Malim- Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki sidang 2023/24 telah mengadakan Bengkel Pemantapan Hala Tuju Aktiviti 2023/24 bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Blok 9, Fakulti Pembangunan Manusia, Kampus Sultan Azlan Shah,UPSI.

Bengkel ini dihadiri oleh 28 orang peserta terdiri daripada Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki dan turut menyaksikan kehadiran Pengetua Kolej Aminuddin Baki, Prof. Madya Dr. Syed Ismail bin Syed Mohamad, barisan pentadbiran dan felo Kolej Aminuddin Baki.

Bengkel Pemantapan Hala Tuju Aktiviti ini disambut baik oleh pengetua, barisan pentadbiran dan felo sebagai gambaran dan makluman awal kepada pentadbiran kolej berkaitan dengan perancangan program yang bakal dilaksanakan oleh Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki bagi sesi 2023/2024 di sepanjang sidang.

Di samping itu, objektif utama bengkel ini adalah bertujuan menggalakkan lagi percambahan idea dan buah fikiran daripada perbincangan bersama pihak pentadbiran melalui perkongsian dan pembentangan takwim di sepanjang sidang untuk menghasilkan program yang berimpak tinggi. Bengkel ini juga diketuai oleh Mohamad Aniq Aieman bin Junaidi selaku Pengarah program.

Prof. Madya Dr. Syed Ismail bin Syed Mohamad (ketiga dari kiri) melontarkan cadangan penambahbaikan
selaku Pengetua Kolej Aminuddin Baki.

Pengetua Kolej Aminuddin Baki (KAB), Prof. Madya Dr. Syed Ismail bin Syed Mohamad menyatakan bahawa Bengkel Pemantapan Hala Tuju ini mampu menjadi sebuah dasar dalam merangka program untuk memperkasakan kecemerlangan mahasiswa dan mahasiswi melalui keberhasilan program yang dijalankan sekaligus menjadikan Kolej Aminuddin Baki sebagai sebuah kolej yang terbilang yang mendapat pengiktirafan Anugerah Kolej Kediaman (AKK).

“Program yang bakal dilaksanakan harus meletakkan unsur kreatif dan kritis serta melakukan pertimbangan secara menyeluruh dalam pelbagai aspek seperti pengurusan masa dan sasaran peserta.” Katanya sewaktu pembentangan takwim oleh Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki sidang 2023/2024.

Dalam bengkel ini juga, takwim MMKAB sepanjang sidang ini dibentangkan bersama-sama pihak pentadbiran kolej. Sebanyak 6 program berimpak tinggi telah dicadangkan dan akan dikemukakan kepada takwim JHEPA dan beberapa program lain yang akan dilaksanakan di peringkat kolej dan universiti.

Diharapkan dari bengkel ini agar pembentangan takwim ini dapat dijadikan sebagai satu petunjuk prestasi utama atau KPI kepada perancangan program sepanjang sidang Zefna selaku Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki bagi sidang 2023/2024 serta dalam mencapai Anugerah Keterampilan Pelajar (AKP) sekaligus mendapat penganugerahan kolej kediaman (AKK).