Oleh : Mohd. Fahmi Mohd. Yunus
Johor Bahru – Seni visual adalah sebuah karya seni yang menampilkan ekpresi pelukis sama ada secara tradisional atau digital. Setiap karya menceritakan kisah yang ingin disampaikan oleh pengkarya. Dalam erti kata lain, seni visual adalah ruang untuk para pengkarya menyampaikan mesej kepada para pengunjung mahupun pembeli karya ciptaan mereka selain dapat memberikan inspirasi kepada kehidupan manusia.
Justeru, dalam usaha mengangkat seni dan meningkatkan kesedaran untuk melebarkan warisan budaya tersebut, Creative Talk Solution, Yayasan Johor Corporation dan Pusat Kebudayaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bekerjasama menjayakan sebuah pameran karya seni visual “Vision Unveiled: The Interaction Of Arts Through Conventional And Digital Exibition 2023” .
Pengarah Pusat Kebudayaan, Dr. Norzuraina Mohd Nor berkata, pameran yang berlangsung pada 5 hingga 15 Oktober di Exhibition Area, Komtar Johor Bahru City Center (JBCC) Johor yang dirasmikan oleh Datuk Haji Yahya Jaafar, wakil rasmi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru.


Pameran itu berjaya mengumpulkan sebanyak 672 karya tradisional dan digital daripada pengkarya tempatan dan luar negara iaitu dari Brunei, Indonesia, China, United Kingdom, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam namun hanya 150 karya terbaik sahaja yang dipilih untuk pameran ini.
“Tujuan utama pameran ini adalah untuk mewujudkan rasa apresiasi seni dan budaya di samping memperkenalkan hasil kreativiti pengkarya kepada khalayak global. Penganjur juga cuba mengangkat pendekatan pertukaran budaya antara negara-negara dan masyarakat yang berbeza melalui seni konvensional dan digital dengan memperluas batas- batas seni,”.
“Penglibatan penyertaan antarabangsa dari pelbagai negara ini juga adalah untuk melestarikan seni visual dalam kalangan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai golongan,” katanya.
Pihak penganjur turut mensasarkan kehadiran seramai 21000 pengunjung sepanjang pameran berlangsung berdasarkan jemputan dan respon yang diterima.
Turut diadakan bengkel dan aktiviti menarik seperti Bengkel Seni Digital, Bengkel Doodle Art dan Bengkel Kontemporari Art yang berlangsung bermula 8 hingga 11 Oktober.
