Oleh: Nurul Aida Mohamed Adam

PULAU PINANG – Hasil dari kolaborasi dan kerjasama yang telah terjalin bersama pihak PKT Logistics Groups Sdn. Bhd. sejak tahun 2020, Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) telah menganjurkan lawatan ke The Ship Campus yang terletak di Batu Kawan Pulau Pinang pada 21 Ogos yang lalu.

Program ini telah disertai oleh seramai 35 orang delegasi yang terdiri daripada kakitangan EDGE, ahli jawatankuasa Kebolehpasaran bagi setiap fakulti, ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sidang 2022/2023 dan rakan EDGERS.

Objektif utama lawatan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada warga UPSI tentang kerjasama pada masa hadapan yang boleh dilaksanakan oleh semua warga UPSI di The Ship Campus di samping merancang aktiviti yang mendukung aspirasi dan pelan strategik UPSI.

Pihak PKT Logistics Group Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Encik Badrul telah menyambut baik kedatangan UPSI dengan memberi kata alu-aluan serta penerangan ringkas tentang The 12 Waves dan The Ship Campus. Lawatan ini diteruskan dengan melawat bilik satelit yang serba canggih di mana sekitar kawasan ini dikawal 24 jam dengan kamera litar tertutup untuk memastikan keselamatan pekerja dan keadaan gudang.

Seterusnya, pihak PKT membawa delegasi melawat bilik rehat ‘Trucker Lounge’ yang kondusif di mana ruang ini disediakan untuk pemandu lori beristirehat sebelum memulakan atau menyambung perjalanan panjang. Fasiliti yang disediakan juga sangat menarik seperti kerusi urut, sofa dan permainan seperti snooker. Lawatan diteruskan dengan melawat gudang yang besar dikenali sebagai The 12 Waves. Nama ini diberikan simbolik kepada seni bina bangunan yang berbentuk ombak. Gudang besar ini telah menempatkan komponen,barangan elektonik dan barangan makanan.

Selepas itu, delegasi dibawa melawat Taman Jepun. Secara simboliknya, taman ini merupakan salah satu inisiatif PKT dalam berbakti semula kepada alam sekitar. Antara tarikan yang menarik adalah tanaman pokok padi yang terletak di sepanjang taman Jepun itu. Landskap yang terdapat di taman ini memberikan suasana ala perkampungan Jepun kepada sesiapa yang melaluinya. Kemuncak lawatan berlaku di bangunan The Ship Campus. Seni bina bangunan The Ship Campus kelihatan begitu ikonik seperti sebuah kapal persiaran yang sedang berlayar dilautan dalam. Pelbagai fasiliti dan kemudahan yang terkini boleh didapati di bangunan The Ship Campus.

Di akhir lawatan, pihak UPSI menyerahkan cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada pihak PKT Logistics Group Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Dr. Jason atas sumbangan dan jasa Yang Berbahagia, Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio yang tidak berbelah bagi kepada pihak UPSI sepanjang kolaborasi ini terjalin.