Oleh: Dr. Nadratun Nafisah Abdul Wahab & Nur Amirah Hana Azizi
TANJUNG MALIM – Pada 27 September 2023, telah berlangsung Program Keusahawanan Peringkat Nasional 2023, University to Community (UTC) 2.0 yang telah dirasmikan oleh Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi bertempat di Dewan Muallim, Scholar Suites, Universiti Pendidikan Sultan Idris Kampus Sultan Azlan Shah.
Universiti Pendidikan Sultan Idris merupakan tuan rumah bagi Program Keusahawanan Peringkat Nasional 2023 University To Community (UTC) 2.0 ini manakala Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) UPSI pula telah dipilih sebagai penyelaras projek ini untuk pusingan kedua.
Dalam ucapannya ketika perasmian Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata, “Program ini juga menzahirkan komitmen tinggi dimana melibatkan 19 universiti, politeknik dan kolej komuniti untuk bekerja secara berkumpulan bagi merealisasikan hasrat KPT menjadikan keusahawanan sosial sebagai tujahan (niche) baharu pembangunan keusahawanan di institut pendidikan tinggi.” Projek University to Community (UTC) 2.0 ini merupakan satu program keusahawanan yang akan digerakkan dengan menggunakan model keusahawanan sosial.
Program ini akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Centre For Entrepreneur Development And Research (CEDAR). Di samping itu, EDGE UPSI juga telah berjaya mempelawa PKT Logistics Group Sdn Bhd selaku rakan strategik.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata “Program ini menyumbang kepada pencapaian lonjakan 1 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 iaitu melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.” Semoga matlamat program ini untuk menubuhkan 21 syarikat usahawan sosial dengan penglibatan 400 orang mahasiswa dapat direalisasikan.
Ucapan terima kasih buat Naib Canselor UPSI, Ybhg. Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Prof Dr. NorKhalid Salimin kerana kesudian untuk turut sama hadir memeriahkan lagi Majlis Perasmian ini. Tidak dilupakan pengarah keusahawanan serta mentor bagi setiap universiti yang hadir dan memberikan kerjasama yang baik sepanjang program ini.