Nur Amirah Hana Azizi & Dr. Nadratun Nafisah Abdul Wahab
Tanjong Malim- Tanggal 2 Ogos, Program Bank Rakyat UNIpreneur 3.0 telah diadakan di Auditorium Universiti Pendidikan Sultan Idris Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Program ini merupakan inisiatif kewangan sosial bagi mahasiswa asnaf di universiti tempatan. Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) melaksanakan program ini adalah bertujuan memberikan tumpuan kepada usahawan membina kemahiran keusahawanan, meningkatkan keyakinan diri dan memupuk semangat berdikari dalam mengendalikan perniagaan sendiri di samping mempersiapkan mahasiswa agar lebih berdaya saing dalam menceburi industri pekerja masa hadapan.
Justeru, seramai 20 usahawan siswa asnaf UPSI telah terpilih menyertai program Bank Rakyat UNIpreneur 3.0 pada kali ini. Setiap peserta program ini akan menerima suntikan dana sebanyak RM3,000 untuk mengembangkan perniagaan mereka. Selain itu, para peserta juga akan diberikan latihan dan bimbingan keusahawanan untuk menguruskan perniagaan mereka melalui 8 orang mentor yang telah dilantik daripada kalangan pensyarah untuk memberikan bimbingan berkala dan memantau peserta program ini.
Setinggi-tinggi penghargaan juga diberikan kepada Bank Rakyat atas sumbangan dan sokongan kepada UPSI, terutamanya suntikan dana berjumlah RM66,000 untuk membantu usahawan mahasiswa asnaf bagi mengembangkan perniagaan dan mengikuti latihan serta bimbingan di samping menyuntik semangat keusahawanan yang tinggi di dalam diri mereka.
Adalah diharapkan program ini dapat memberikan inspirasi kepada para mahasiswa melalui 20 usahawan pelajar ini. Mahasiswa yang terpilih ini diharap bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik malahan bergiat aktif dalam bidang keusahawanan yang semakin berkembang di kalangan mahasiswa universiti. Selain itu, Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) turut meletakan harapan agar usahawan mahasiswa ini mampu menguruskan perniagaan hingga ke tahap yang boleh dibanggakan seterusnya menceburi bidang keusahawanan sebagai pilihan kerjaya dan berhasil menyediakan peluang pekerjaan yang banyak pada masa hadapan.