Gambar: Taufiq Bahari
TANJUNG MALIM 22 OKTOBER 2023 – Semangat demokrasi dan penglibatan pelajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus berkobar apabila Campus Election Organization (CEO UPSI) memulakan bengkel Pengukuhan Pasukan mereka.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin, seramai 50 orang pelajar menyertai bengkel Pengukuhan Pasukan CEO ini yang diadakan di Teratak Riverview, Tanjung Malim, Perak.
Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin menjelaskan, “Tujuan utama kem ini adalah untuk menjadikan CEO sebagai entiti yang luar biasa dalam kalangan pelajar, yang memainkan peranan penting dalam menjayakan proses pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) selaras dengan amanat Kementerian Pengajian Tinggi(KPT) untuk melaksanakan Agenda Pemerkasaan Mahasiswa Fasa 1 iaitu (1.) Pemilihan MPP Universiti Awam(UA) dilaksanakan sepenuhnya oleh pelajar; (2.) Autonomi pengurusan aktiviti pelajar; (3.) Autonomi pengurusan kewangan pelajar; dan (4.) Panduan pelajar berpolitik di dalam dan luar kampus.
Dia menjelaskan lagi, “Universiti memberi tumpuan kepada kualiti setiap ahli CEO supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan penuh semangat, walaupun dalam jangka masa yang singkat dan padat. Oleh itu, bengkel ini adalah satu peluang yang sangat berharga yang akan memberi nilai tambah kepada semua CEO dan membolehkan mereka menjadi contoh yang cemerlang dalam semua aspek.”

Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin turut menekankan bahawa mereka yang dipilih untuk memegang tanggungjawab ini perlu menyedari bahawa menjadi seorang CEO bukan sekadar tentang memiliki kuasa untuk meluluskan atau menolak pencalonan pelajar yang bertanding untuk jawatan dalam MPP. Ini adalah tanggungjawab besar yang memerlukan pemahaman dan komitmen yang lebih daripada itu.”
Inisiatif ini adalah bukti nyata bahawa UPSI berusaha sepenuh tenaga untuk membentuk mahasiswa yang tidak hanya akademik cemerlang, tetapi juga individu yang berpengetahuan tentang proses demokrasi, kepemimpinan, dan tanggungjawab sosial. Semangat demokrasi dan penglibatan pelajar ini adalah tonggak penting dalam pembangunan pelajar di UPSI, yang akan membawa impak positif kepada masyarakat dan negara dalam jangka masa panjang. Dengan ini, semoga para pelajar CEO terus memberi tumpuan kepada pembelajaran mereka dalam bengkel ini dan memanfaatkan pengalaman ini sebagai landasan untuk membawa perubahan positif kepada universiti dan komuniti setempat.

