Oleh: Nur Syamirah Shamsuddin (PuLaMI)

UPSI,1 November 2023- Pusat Latihan Mengajar dan Industri (PuLaMI) telah menganjurkan Program Internship and Teaching Practice (InTeP) Fair 2023 bertempat di Dewan Tuanku Canselor (DTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini merupakan penganjuran kali kedua daripada pihak PuLaMI dalam membantu pelajar-pelajar UPSI mendapatkan penempatan serta melancarkan proses latihan mengajar dan latihan industri dalam bidang yang berkaitan.

InTep Fair 2023 telah dilaksanakan dengan kerjasama daripada 21 buah agensi kerajaan dan swasta di Malaysia. Program ini juga memberi pendedahan kepada pelajar yang menjalani latihan mengajar, etika dan tanggungjawab semasa menjalani latihan di sekolah serta proses permohonan permit dan tuntutan elaun. Di samping itu, InTeP Fair 2023 juga diadakan bagi memberi pengetahuan kepada pelajar berkaitan kerjaya yang dipilih semasa dan selepas menjalani tempoh latihan industri.

Antara agensi yang terlibat adalah Esla Group Sdn. Bhd., Brainy Bunch Sdn. Bhd., Go Coach Global Sdn.Bhd., Excel Qhalif Sdn. Bhd., Bermaz Auto Berhad, Clever Speda Sdn. Bhd., Media Smart Resources Sdn. Bhd., 99 Speedmart Sdn. Bhd., Fast Track Academy, Enviro Axis Sdn. Bhd., Sols Energy Sdn. Bhd., Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd., Rich & Rich Consultant Services Sdn. Bhd., Nadim Akuatik Sdn. Bhd., Top Glove, Lembaga Tabung Haji, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Sim Leisure Group, serta Bank Simpanan Nasional (BSN).

Seramai 2674 orang pelajar dari setiap fakulti di UPSI telah menyertai InTeP Fair 2023 pada tahun ini dan mendapat sambutan yang memberasangkan. Antara aktiviti-aktiviti yang diselitkan semasa penganjuran program ini adalah pameran kerjaya di setiap booth, forum latihan mengajar bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Pejabat Pendidikan Daerah Muallim serta taklimat latihan industri oleh syarikat Esla Group Sdn. Bhd.

Program ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff. Melalui ucapan perasmian beliau, pelajar-pelajar UPSI perlu diterapkan dengan 5 set kemahiran sebelum melangkah masuk ke alam pekerjaan iaitu resilience (daya tahan), communication (komunikasi), teamwork (kerja berpasukan), problem solving (menyelesaikan masalah), serta innovative and creative (inovatif dan kreatif). Melalui kemahiran ini pelajar dapat menyesuaikan diri dan bekerja secara holistik di masa yang akan datang. Tambahan beliau, seorang pelajar tidak perlu menghadkan diri dalam pekerjaan kerana peluang pekerjaan di luar adalah menyeluruh. Pelajar perlu bijak dan berani dalam merebut peluang dalam untuk mencapai kejayaan yang diinginkan.

Program ini turut dijayakan bersama dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) dari Fakulti Sains dan Matematik (FSM) dan Persatuan Kejuruteraan Perisian (PKP) dari Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI. InTeP Fair 2023 juga telah ditaja oleh Farm Fresh Tanjung Malim, Fast Track Academy, Minda Global Berhad dan Ranhill SAJ.