Oleh: Noraida Othman & Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi (NCDRC)
Tanjong Malim: Sempena Sambutan Hari Kanak-kanak Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2023, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) dengan kerjasama Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menganjurkan program Hello Microbes 7.1 bertempat di Makmal Biologi 2 dan 3, FSM.
Program ini berlangsung pada 16 November melibatkan seramai 53 orang kanak-kanak NCDRC berumur 6 tahun dengan kerjasama dengan 49 orang fasilitator yang terdiri daripada mahasiswa Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Biologi), FSM.
Hello Microbes 7.1 adalah aktiviti pemindahan ilmu berkaitan sains khususnya bidang Mikrobiologi berunsur permainan dan penyiasatan dengan memberi peluang kanak-kanak merasai pengalaman menjalankan eksperimen sebenar dan aktiviti dalam makmal sains.
Pengisian program adalah berdasarkan persoalan sebenar daripada kanak-kanak dan melibatkan kaitan mikrob dalam konteks kehidupan sebenar yang membolehkan kanak-kanak mengenali dunia mikrob dengan lebih jelas.
Menurut Dr. Hamidah Idris, Pensyarah Kanan di Jabatan Biologi, FSM dan juga Pengasas Program Hello Microbes, program ini mula ditubuhkan pada 2017 dan telah dijalankan secara konsisten setiap tahun. Terdapat pelbagai jenis modul dalam Program Hello Microbes yang dibangunkan dengan penglibatan pelajar kursus SBB3033 Prinsip-prinsip Dalam Mikrobiologi melalui projek SULAM dan menjadi kaedah terbaik dalam penerapan ilmu dan konsep sains yang tepat kepada komuniti sasaran berkaitan dengan fenomena dan situasi melibatkan mikroorganisma yang berlaku di kehidupan seharian kita.
“Program Hello Microbes menekankan penerangan saintifik terhadap persoalan kanak-kanak berkaitan dunia kuman yang disampaikan melalui permainan dan aktiviti hands-on selain memberi pengalaman berada di dalam makmal dan menggunakan radas sebenar kepada kanak-kanak,” katanya.