Oleh: Nurnajihah Nordin & Amal Binti Mohd Hishomudin

Tanjong Malim: Exco Sukan dan Rekreasi Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid, Universiti Pendidikan Sultan Idris telah mengadakan program Santai KHAR yang bertujuan untuk merapatkan jalinan persahabatan antara mahasiswa khususnya penghuni KHAR itu sendiri.

Selain itu, program ini dijalankan sebagai medium dalam memanfaatkan masa lapang untuk aktiviti berfaedah dan menggalakkan mahasiswa mengenakan pakaian berkonsepkan tradisional untuk kembali bernostalgia

Program ini berlangsung pada 19 November 2023 bermula dari jam 8 pagi hingga 7 petang melibatkan seramai lebih 400 mahasiswa secara keseluruhan.  

Pengarah Program Santai KHAR, Farisha Shahira Fakarudin menyatakan bahawa program ini dianjurkan bertujuan untuk memberi sentuhan kebebasan kepada penghuni untuk berhibur dengan permainan tradisional.

“Saya yakin permainan tradisional sering kita main waktu kecil. Saya bawakan lagi hari ini supaya mahasiswa boleh lari sekejap dari pekerjaan hakiki dan bernostalgia bersama kami,” katanya.

Pertandingan bertemakan tradisional ini terdiri daripada traditional street soccer, permainan tarik tali dan sukaneka. Acara sukaneka pula terdiri daripada baling selipar, sepak raga, lari dalam guni, bawa bola pingpong menggunakan sudu dan isi air dalam bekas.

Semua penghuni yang menyertai pertandingan menunjukkan semangat kerjasama yang tinggi dalam mewakili blok kediaman masing-masing. Dengan kata lain, program yang dijalankan ini berkonsepkan semangat kesukanan dan menjadi platform untuk membina hubungan positif dalam diri penghuni kolej.

Hazman Yaakob, Penasihat Program Santai KHAR menjelaskan bahawa program ini memang disusun dengan mengangkat tema tradisional agar mahasiswa masih membudidayakan segala peninggalan warisan kita.

“Walaupun kita hidup di zaman moden, tetapi yang dahulu tetap perlu kita hargai. Keseronokan, senyum tawa, budi pekerti dan banyak nilai murni yang boleh kita ambil dari aktiviti tradisional. Dengan Santai KHAR, mahasiswa dapat bersatu padu dan bekerjasama dalam kumpulan untuk mengikuti setiap permainan dengan baik tanpa menghilangkan keseronokan dalam kebersamaan sesama warga KHAR,” katanya.

Asal Jauh menjadi rakan kolaborasi utama untuk program ini sekaligus memberi peluang kepada para usahawan dan mahasiswa untuk membuat jualan sepanjang program dijalankan. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa KHAR sentiasa membuka ruang dan peluang untuk setiap usahawan dan mahasiswa khususnya membuka perniagaan sekaligus meraih pengalaman menjadi seorang usahawan muda.

Penglibatan mahasiswa dari Indonesia iaitu Universitas Negeri Yogyakarta (UNY) dan Universitas Negeri Padang (UNP) memeriahkan lagi Santai KHAR kali ini. Mahasiswa Indonesia menyertai aktiviti tarik tali dengan disertai oleh barisan felo blok kediaman dan juga Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid sidang 2023/2024. Aktiviti ini merupakan aktiviti kemuncak bagi program Santai KHAR di mana peserta memerlukan strategi yang baik dan merancang gerakan mereka dengan penuh kerjasama sebagai satu pasukan. Kebersamaan diantara pengetua, barisan felo, mmk dan mahasiswa memberikan lagi skena perpaduan yang utuh diterapkan dalam pentadbiran KHAR.

KHAR sentiasa menyokong usaha MMK dalam menganjurkan program yang melibatkan kesatuan penghuni. Ini juga sesuai dengan slogan “KHAR RUMAH KITA” yang menggambarkan keharmonian dan perpaduan serta keselesaan penghuni untuk menjalani kehidupan sebagai mahasiswa di KHAR.

Program kesukanan ini perlu dilaksanakan supaya penghuni Kolej Harun Aminurrashid dapat memelihara warisan keunikan permainan tradisional yang wujud sejak dulu sehingga kini dan meluaskan jaringan kenalan sesama mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid dan UPSI.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)