Oleh: Muhamad Amirul Nizam

Tanjong Malim – Permainan tradisional yang kian dilupakan seperti baling selipar mampu menyemai semangat cintakan warisan budaya di samping dapat mengeratkan lagi hubungan sesama mahasiswa.

Permainan tradisional juga dianggap ketinggalan zaman oleh generasi muda mahupun mahasiswa kerana majoriti sudah dibekalkan dengan gajet yang mempunyai pelbagai kemudahan sekali gus hubungan antara mahasiswa terjejas kerana kurangnya pergaulan antara mereka.

Bagi mengeratkan hubungan antara penghuni, Ahli Jawatankuasa Blok Kediaman 6 Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) telah menganjurkan Heritage Infinite Game yang berlangsung pada 26 November bertempat di KHAR Central.

Program Heritage Infinite Game ini merangkumi beberapa aktiviti dan permainan iaitu baling selipar, cap teh, timbang takraw dan boling kelapa. Semua aktiviti yang dijalankan mampu menggamit kenangan dan menjadi asbab ikatan yang dibina antara penghuni semakin erat.

Ucapan daripada Felo Kolej Kediaman 6                     

Antara potret peserta bermain boling kelapa

Menurut Dr. Muhammad Ridhwan bin Sarifin, Felo Kolej Kediaman 6, “Program pada hari ini mampu menjadi landasan dalam memupuk perpaduan antara penghuni kolej kediaman. Biarpun berbeza agama dan bangsa namun semangat perpaduan antara penghuni dapat dipupuk melalui program ini. Aktiviti seperti baling selipar, boling kelapa dan lain-lain mampu mengeratkan hubungan penghuni kerana ia dimainkan secara berkumpulan yang memerlukan kerjasama antara mereka di samping dapat menggamit kenangan.”

Beliau menambah bahawa aktiviti seperti ini perlu sentiasa dilakukan agar penghuni lebih terdedah akan manfaat yang dapat diperoleh daripada permainan tradisional kerana ia bukan sahaja berfungsi sebagai hiburan, bahkan bermanfaat untuk kecerdasan rohani dan jasmani diri seseorang mahasiswa.

                                                Johan Program Heritage Infinite Game

Secara keseluruhannya, impak Program Heritage Infinite Game dapat memberikan penghuni mengisi masa cuti minggu mereka dengan aktiviti yang bermanfaat dan penuh dengan keseronokan. Ia juga dapat mengetengahkan elemen kekeluargaan antara penghuni dalam mencapai kehidupan yang penuh kedamaian di KHAR.