Oleh: Nur Faiha Husna Roslan
TANJONG MALIM- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK), telah menjayakan Majlis Penyerahan Bantuan Makanan Percuma Pelajar UPSI bertempat di Student Lounge, Bitarasiswa pada 18 November yang lalu.
Majlis yang berlangsung pada jam 9.00 pagi ini telah dianjurkan oleh Exco Kerohanian dan Kebajikan Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK) dengan kerjasama Syarikat Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet). Seramai 300 orang pelajar menerima sumbangan bantuan makanan menerusi program ini. Objektif program ini diadakan untuk memberi sumbangan kepada pelajar UPSI khususnya yang menetap di luar kampus yang kurang berkemampuan untuk memenuhi keperluan asas mereka.
Majlis dimulai dengan ucapan daripada wakil PayNet, Puan Nur Atiqah Abd Samad. Menerusi ucapan beliau, program ini mampu memberikan impak yang besar kepada pelajar yang memerlukan kerana bantuan yang diberikan kepada pelajar dapat meringankan beban mereka. Dalam pada itu, Atiqah juga memperkenalkan beberapa perkhidmatan keluaran PayNet seperti MyDebit, DuitNow, DuitNow QR, FPX dan lain-lain.
Ketika berucap bagi merasmikan majlis ini, Pengerusi Majlis Pengetua Kolej-Kolej Kediaman, Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan menyatakan setinggi-tinggi kesyukuran kepada pihak PayNet yang telah sudi berkongsi rezeki bersama pelajar serta menyatakan ucapan terima kasih kepada penerima yang hadir ke majlis ini. Di samping itu beliau menyatakan hasrat agar bantuan seperti ini dapat disebarluaskan lagi kepada rakan-rakan kolej kediaman yang lain.
Dengan pelaksanaan program ini, adalah diharapkan supaya bantuan makanan ini dapat memenuhi keperluan asas pelajar UPSI yang memerlukan serta dapat mewujudkan sifat prihatin, hormat- menghormati dan bertimbang rasa antara pemberi dan golongan asnaf mahasiswa/i Universiti Pendidikan Sultan Idris.