Oleh: Intan Syahzani Idayu

UPSI, 25 November 2023 – Persatuan Kejuruteraan Perisian (PKP), Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) Sesi 2023/2024 dengan jayanya telah menganjurkan program Framework Development Workshop yang bertempat di Makmal Kejuruteraan Perisian, Makmal Ilmu Bersepadu. Kejayaan program ini dapat dilihat daripada bilangan pelajar yang turut serta, merangkumi 40 orang pelajar daripada pelbagai semesterdibawah Jabatan Kejuruteraan Perisian dan Teknologi Pintar, FKMT dan telah disempurnakan perasmiannya oleh Penasihat PKP iaitu YBrs. Dr. Roznim binti Mohamad Rasli.

Kerangka kerja, atau lebih dikenali sebagai framework, merujuk kepada struktur konseptual atau satu set peraturan dan alat yang memberikan panduan serta memudahkan pembangunan sistem, aplikasi, atau idea. Dalam konteks pembangunan perisian, kerangka kerja terdiri daripada peraturan dan alat pembangunan yang membentuk landasan untuk membina aplikasi secara teratur dan efisien.

Para peserta Framework Development Workshop tekun mengikuti sesi penerangan Yang diberikan oleh penceramah jemputan.

Saudari Aiman Balqis selaku pengarah program, menyoroti bahawa tujuan program ini tidak hanya terbatas pada penyampaian pengetahuan asas mengenai kerangka kerja dalam pembangunan sistem tetapi juga dirancang khusus untuk memberikan panduan kepada para pelajar agar mereka mampu untuk mengembangkan kerangka kerja mereka sendiri. Encik Rasyidi bin Johan, Pensyarah Kanan FKMT terlibat sebagai tenaga pengajar dan sumbangan beliau diakui sebagai elemen yang penting, membantu para pelajar memahami dan membangunkan kerangka kerja dengan lebih baik.

En. Rasyidi memberikan penerangan praktikal kepada para peserta berkenaan framework yang digunakan pada sesi bengkel

Program ini mencakupi aspek-aspek penting dalam pembangunan kerangka kerja, termasuk pengenalan kepada seni bina Model-View-Controller (MVC), pembangunan templat, dan langkah-langkah pembangunan kerangka kerja secara menyeluruh. Pengetahuan yang diperoleh diharapkan menjadi panduan berguna bagi para peserta, baik dalam konteks akademik mahu pun industri.

Program ini bukan hanya menjadi satu pengenalan kepada dunia pembangunan kerangka kerja, tetapi juga menjadi titik tolak yang memberi inspirasi kepada pelajar untuk mengukuhkan kecekapan mereka dalam bidang kejuruteraan perisian serta meneruskan usaha yang cemerlang dalam memperkasa pengetahuan dan keterampilan pelajar ke arah kesinambungan Revolusi Industri 5.0.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)