Peserta bergambar bersama Panel ke-2, Slot Grab The Sky Be the Star
Oleh: Magdeline Mega, Jackline & Alya
Tanjong Malim- Keterampilan diri dan etika semasa bersosial merupakan elemen penting dalam kepimpinan yang perlu dipelajari agar nampak sentiasa nampak yakin dan menarik. Program Professional Grooming and Etiquette anjuran Exco Perhubungan Awam dan Antarabangsa Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki Sidang 2023/2024 pada 19 November 2023 yang lalu telah dihadiri hampir 100 orang para peserta.
Program ini turut menampilkan dua orang ahli panel yang hebat iaitu Mohamad Izzudin Zakaria dalam Slot Protokol manakala Slot Professional Grooming disampaikan oleh Nur Shafiq Iqwan Shafiruddin. Penganjuran program seperti ini bertujuan untuk memberi kefahaman tentang protokol dan etiket sosial sebagai persediaan awal sebelum pelaksanaan program berimpak tinggi.
Selain itu, program ini juga bertujuan untuk menerangkan sistem gerak kerja pengurusan dan penganjuran majlis serta tindakan professional yang perlu dilakukan dalam tugas mengiringi dan menyambut tetamu kenamaan terutama semasa penganjuran majlis-majlis rasmi. Perkara penting yang perlu dititikberatkan adalah berkaitan senarai semak yang perlu disediakan dalam persiapan penganjuran Majlis disamping tatacara pengayaan pakaian dan penggunaan aksesori yang betul mengikut dresscode yang ditetapkan mengikut tema majlis.
Menurut Mohammad Izzudin, “Protokol merupakan aspek paling penting dalam penganjuran program supaya program nampak lebih kemas dan teratur”. Beliau juga turut memberikan pujian dan kata-kata semangat diatas penganjuran program ini agar ianya menjadi panduan buat semua para peserta. Pengalaman yang sangat bermakna turut dikongsi oleh Nur Shafiq Iqwan sepanjang bergelar mahasiswa yang mempunyai banyak komitmen dalam organisasi.
Sesi perkongsian santai di samping selingan sesi bual mesra bersama Nur Shafiq Iqwan, alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris mampu memberikan motivasi kepada para peserta untuk lebih menerokai bidang kepimpinan sepanjang berada di Universiti. Pelbagai kisah dan perkongsian disampaikan untuk dijadikan panduan agar semua para peserta juga mampu lahir sebagai anak kandung suluh budiman yang mempunyai penampilan dan kredibiliti peribadi yang dihormati serta disegani.
Pengarah Program Professional Grooming and Etiquette, Agatha Urai Engcau mengucapkan penghargaan dan jutaan terima kasih buat semua panel jemputan serta ahli jawatankuasa yang terlibat menjayakan program ini terutama Penasihat Program, Shakila Idris yang banyak membantu memberi bimbingan dalam menjayakan program ini. Semoga program ini mampu memberikan panduan buat semua para peserta dalam penganjuran program samada peringkat kolej, fakulti atau Universiti.