Oleh: Aeron Winter Anak Jackson, Nur Syamimi Athilah dan Nurin Zahreena

Tanjong Malim- Kem Pemantapan Rakan Exco yang dianjurkan Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki sidang 23/24 telah diadakan selama dua hari bermula pada 4 November hingga 5 November. Kem ini turut melibatkan seramai 70 rakan exco yang telah dipilih melalui sesi temuduga oleh barisan Majlis Mahasiswa Kolej yang berlangsung di Pusat Aktiviti Pelajar, Kolej Aminuddin Baki.

Program ini bertujuan untuk mengenalpasti dan mencungkil bakat kepimpinan dikalangan penghuni kolej yang telah dilantik menjadi rakan exco. Selain itu, pengenalan awal berkaitan skop tugasan yang perlu dilakukan oleh rakan exco bagi membantu Majlis Mahasiswa Kolej menjayakan setiap program yang telah dirancang sekaligus menjadi pelapis baru kepimpinan untuk sidang akan datang. Kem ini juga menjadi satu platform bagi membina hubungan yang lebih akrab antara semua rakan exco dan Majlis Mahasiswa Kolej supaya kerjasama dalam melaksanakan gerak kerja lebih mudah dan tersusun.

Slot Ice breaking yang sedang dilaksanakan oleh Rakan Exco

Pelbagai aktiviti yang telah dijalankan bermula dengan sesi ice breaking atau lebih dikenali slot dari hati ke hati. Slot ini menekankan aspek pengenalan peribadi antara rakan exco supaya tiada masalah komunikasi ketika melaksanakan gerak kerja. Antara lain, rakan exco ini juga turut diminta melaksanakan aktiviti gotong royong bagi membersihkan kawasan kolej disamping membantu menyusun atur semula keperluan penginapan di setiap rumah. Selain itu, slot perkongsian bersama penerima Anugerah Kolej kediaman 22/23 turut diadakan bagi memberikan inspirasi dikalangan rakan exco untuk bersaing secara sihat dalam penganjuran program.

Sepanjang pelaksanaan setiap slot ini, setiap rakan exco turut dinilai dari pelbagai aspek untuk memastikan mereka sentiasa memberikan yang terbaik sepanjang program ini berlangsung. Slot yang paling penting iaitu, Slot Introducing MMK KAB juga diadakan bagi memperkenalkan keseluruhan barisan Majlis Mahasiswa Kolej kepada rakan exco supaya mereka lebih mengenali antara satu sama lain disamping memperkenalkan gerak kerja serta panduan sebagai Majlis Mahasiswa kolej dalam melaksanakan program dan juga sasaran yang telah ditetapkan mengikut takwim kolej.

Sesi Fotografi bersama barisan Penerima Anugerah Kolej Kediaman Sidang 22/23

Diharapkan Kem Pemantapan Rakan Exco Zefna ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan Majlis Mahasiswa Kolej dengan rakan exco tetapi juga inisiatif untuk mencungkil bakat kepimpinan dikalangan penghuni kolej sebagai persediaan untuk sidang akan datang. Aspek latihan dan bimbingan ini juga merupakan faktor paling penting yang perlu ditekankan agar Kolej Aminuddin Baki mampu melahirkan pemimpin yang sentiasa berdaya saing sekaligus mampu menjulang nama Kolej dan Universiti ke peringkat yang lebih tinggi.