Oleh: Abdul Latif Firdaus Abdul Malik
Tanjong Malim – Pada masa kini, TVET menjadi rebutan industri di mana majikan semakin melihat TVET bukan lagi sekadar kelebihan tetapi adalah kewajiban yang perlu ada dalam diri setiap graduan.
Industri TVET di Malaysia juga adalah industri yang banyak menyumbang dalam sistem ekonomi negara.Oleh itu, antara usaha kerajaan Malaysia dalam merancakkan lagi ekonomi negara adalah dengan menggubal dasar untuk memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Langkah ini kritikal kerana TVET merupakan antara sumber tenaga kerja dengan kemahiran praktikal yang amat diperlukan oleh industri serta sektor ekonomi yang penting pada masa kini. Dengan memberi penekanan kepada pendidikan dalam bidang ini, kerajaan Malaysia berharap untuk meningkatkan daya saing negara dalam arena ekonomi global, sekaligus membantu mengurangkan jurang antara keperluan industri dengan kebolehan tenaga kerja.
Oleh itu, Exco Ekonomi dan Keusahawanan, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid telah menganjurkan sebuah bengkel bakeri “Baked Munchiez” pada 3 Disember dengan menjemput dua orang pensyarah daripada Fakulti Teknikal dan Vokasional UPSI, Dr. Mohd Nazri Abdul Raji dan Dr. Mohd Yusof Kamaruzaman untuk memberikan penerangan serta demonstrasi membuat biskut.
Program ini menghadirkan kerjasama antara KHAR dan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE).
Menurut Nur Sabrina Hassan Nuddin, Pengarah Program Bengkel Baked Munchiez menyatakan bahawa bengkel ini bertujuan untuk memperkenalkan kemahiran pastri yang menjadi pelengkap dalam warna sebuah hidangan di professional kitchen.
“Dalam masakan, kita ada appetizer, main course, dessert dan sebagainya. Pastri kebiasaannya diletakkan dalam kumpulan pencuci mulut. Saya yakin, bengkel ini tidak hanya membuka pemikiran kita untuk hanya pandai membuat biskut yang sedap, tetapi ia boleh memacu idea yang lebih kreatif untuk menjana pendapatan dengan kemahiran pastri,” katanya.
Slot perkongsian pertama diisi oleh Dr. Mohd Nazri yang menerangkan tatacara dan asas dalam membuat biskut coklat chip secara terperinci. Beliau juga telah memberikan beberapa tips bagi adunan serta pembakaran agar biskut yang dihasilkan menepati kualiti yang diinginkan. Setelah itu, setiap peserta diberikan peluang untuk menghasilkan biskut mereka sendiri.
Menurutnya, pembuatan biskut ini memerlukan tingkat kesabaran yang tinggi kerana terdapat langkah yang mengharuskan pembuat biskut untuk menunggu seketika.
“Dalam pastri, kesabaran dan ketekunan perlu diterapkan dengan sebenar-benarnya. Ketelitian dalam setiap step akan membuatkan lagi biskut kita menjadi sebuah makanan yang lezat dan sempurna,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa ketekunan dalam membuat biskut sama seperti ketekunan guru dalam membuat persediaan bagi memberikan pembelajaran yang terbaik bagi murid di sekolah.
“Apabila kita faham tentang proses membuat biskut, kita akan faham bagaimana jiwa seorang guru. Perlu menikmati proses demi proses. Dan saya yakin, setiap guru juga akan membawa murid mereka untuk belajar kemahiran asas memasak kerana ia akan melatih tidak hanya skill dalam memasak, tetapi skill untuk menjadi seorang yang berjiwa besar” katanya lagi.
UPSI akan sentiasa terbuka untuk berkongsi kepakaran dalam pelbagai bidang terutamanya TVET. Di UPSI terdapat banyak program TVET yang membantu mahasiswa meraih ilmu, pengalaman dan penjanaan ekonomi mereka.
UPSI juga akan sentiasa membuka ruang untuk mahasiswa meningkatkan kemahiran dalam keusahawanan dan pastinya ini membuka peluang mereka menjadi seorang usahawan yang berkaliber sekaligus dapat menyumbang kepada tahap ekonomi dan pendidikan negara.