Oleh: Muhamad Amirul Nizam
Tanjong Malim– Mobile Legends Bang Bang atau singkatan MLBB merupakan sebuah permainan telefon pintar bergenre arena pertarungan atas talian multipemain (MOBA) yang dibangunkan dan diterbitkan oleh syarikat Moonton.
Permainan ini mula menambat hati para pemain khususnya dalam kalangan jiwa anak muda pada masa kini. Permainan video ini bukan sahaja sekadar untuk mengisi masa lapang tetapi juga boleh menjadi salah satu cabang pekerjaan dan juga boleh menjadi platform untuk para pemain menunjukkan bakat sehingga ke persada dunia dalam bidang e-sport. Permainan video ini juga boleh mengeratkan hubungan antara mahasiswa blok kediaman 6 Kolej Harun Aminurrashid.
Bagi mencungkil bakat mahasiswa dan merapatkan hubungan sesama penghuni, Jawatankuasa Blok Kediaman 6 Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) telah menganjurkan Elite Battle League yang berlangsung pada 1 hingga 2 Disember secara atas talian manakala 3 Disember secara fizikal di Dewan Harun Aminurrashid.
Menurut Dr Che Anuar Che Abdullah, Pengetua KHAR menyatakan Program Elite Battle League ini mampu membangunkan semangat berdaya saing antara pemain disamping meningkatkan keupayaan pelbagai kemahiran dalam e-sport.
“Saya lihat sekarang semua kalau saya tanya, suka main game. Tetapi mereka bukan main game kosong, tapi mereka belajar menyusun strategi, kerjasama dan sebagainya. Jadi program ini mampu meningkatkan kemahiran sosial antara pemain kerana mereka mampu berkenalan dengan orang baharu sewaktu program berlangsung,” katanya.
Dr. Muhammad Ridhwan Sarifin sebagai penasihat program menyatakan program seperti ini mampu mengeratkan hubungan sesama penghuni kolej. Beliau juga berharap supaya tidak ada perbalahan atau persengketaan sesama penghuni. Program ini juga mampu untuk mencungkil bakat-bakat penghuni kolej supaya dapat bergerak lebih jauh lagi dalam dunia e-sport.
“Permainan e-sport merupakan suatu wadah penyatuan mahasiswa khususnya penghuni kolej supaya mereka mampu untuk bersama-sama bersatu dan bantu-membantu walau berbeza agama dan bangsa serta mampu berada di bawah bumbung yang sama.
Dipetik dari temubual bersama Cikgu Naem Zolkapli, ‘Raja’ PES Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menjadi Juara di Kejohanan e-sport Kampus pernah menyatakan bahawa sukan digital ini semakin menjadi ‘demand’ industri dunia dalam mengetengahkan inovasi digital dan sebagainya.
“Setiap tahun, ada sahaja game baru yang dihasilkan oleh anak muda. Saya yakin dengan semakin banyak mahasiswa menjadikan sukan esport ini sebagai wadah kecemerlangan mereka, suatu saat tidak mustahil mereka akan menjadikan esport sebagai medan kegemilangan secara pendidikan, ekonomi dan sosial serta mampu menaikkan nama negara di kancah antarabangsa melalui sukan ini”, katanya.
Secara keseluruhannya, impak program Elite Battle League dapat mencungkil bakat e-sport dan sekaligus melahirkan atlet dalam sukan jni serta mampu meraih kejayaan dan membawa nama UPSI di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.