Oleh: Nur Alya Salsabila, Jackline, Nur Amni Batrisyia dan Arsyad Sulaiman
Tanjong Malim- Penganjuran Program United Society Mini Autoshowoff 2023 (USMA) telah anjuran Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki sidang 23/24 dengan kerjasama Majlis Pengetua Kolej Kediaman, King Queen Malaysia dan Pusat Ko-Kurikulum UPSI. Program ini telah diadakan pada 25 November yang lalu bersempena Pesta Konvokesyen (PESKON) UPSI ke-25 bertempat di Padang Kawad, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Pelbagai aktiviti menarik yang telah diadakan antaranya penglibatan seramai 100 buah kenderaan pelbagai jenama semasa pameran kereta, perkongsian teknologi kereta elektrik, pertandingan mewarna, aktiviti giant bubble, jualan preloved tudung, dan cabutan bertuah. Program ini juga bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa dan mahasiswi UPSI berkaitan pengetahuan umum pendidikan automotif khususnya melibatkan teknologi baru yang popular dalam industri automotif.
Pengetua Kolej Aminuddin Baki, Prof Madya Dr. Syed Ismail Syed Mohamad menyatakan pendidikan automotif juga merupakan sebahagian daripada pembelajaran yang perlu diterokai oleh mahasiswa dan mahasiswi UPSI di samping meluaskan jaringan sosial dalam kalangan masyarakat yang terlibat dalam program ini.
“Jalinan kerjasama ini merupakan titik pemula kearah memasyarakatkan Universiti supaya lebih dikenali disamping menjalinkan kerjasama serta perkongsian idea dengan industri automotif yang terlibat seperti Volkswagen, Perodua dan Proton. Selain itu, program ini juga merupakan platform terbaik untuk pelajar UPSI menjalinkan jaringan sosial dengan masyarakat untuk penganjuran program berimpak pada masa akan datang,” katanya.
Turut hadir sama Presiden King Queen Malaysia, Encik Ahmad Shah Rizal Adam yang merupakan jaringan kolaborasi Program United Society Mini Autoshowoff 2023 (USMA) bersama-sama Pengetua Kolej Zaa’ba, Tuan Haji Yusop Ahmad mewakili Majlis Pengetua Kolej-kolej kediaman bagi memeriahkan lagi Program bersama seluruh ahli Kelab yang hadir dari seluruh semenanjung Malaysia memperagakan kenderaan masing-masing.
Program seperti ini perlu dimanfaatkan oleh seluruh mahasiswa dan mahasiswi UPSI dalam mempelajari kepelbagaian ilmu agar setiap masa yang terluang tidak dibazirkan dengan hanya berada di kolej kediaman tetapi mengorak langkah meneroka segala ilmu khususnya pendidikan automotif yang boleh digunakan dalam aktiviti seharian. Semoga program ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih ramai industri automotif dan masyarakat seluruh Malaysia dalam memartabatkan pendidikan automotif.