Oleh: Nurul Adila Hasan Albakri & Wan Musfirah Sanaa’ Wan Ahmad Sadaba
Tanjong Malim- Penganjuran program Break the Ice with Al-Azraq menyaksikan penyatuan ukhuwah antara pelajar semester Satu Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan bersama Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ) sidang 23/24. Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara para pelajar namun dapat memberi gambaran awal buat para pelajar baharu untuk menyusun organisasi.
Program ini juga menyemarakkan lagi semangat kerjasama, hormat-menghormati serta menanam nilai-nilai murni melalui pelbagai pengisian aktiviti ice breaking yang disediakan oleh pimpinan persatuan. Antara bentuk ice breaking yang dijalankan ialah 25 Sifat Binggo, Abang Long Kawasan dan Putera Katak. Setiap pengisian yang dilakukan sememangnya mewujudkan persefahaman dan semangat kerja berpasukan yang tinggi antara para pelajar serta memantapkan lagi institusi organisasi yang baru diwujudkan.
Penasihat Persatuan Tahfiz Qiraat, Ummikalsum Mat Lazim berkata, “Program ini membuka peluang kepada para pelajar semester satu untuk saling berkenalan dan mengeratkan hubungan sesama ahli batch kerana terdapat banyak intipati yang disediakan oleh pimpinan persatuan bagi membantu pelajar baharu untuk saling mengenali dan ianya akan memudahkan gerak-kerja pada masa akan datang”.
Seterusnya, nilai bekerjasama dalam satu pasukan perlu diterapkan dari awal lagi agar setiap gerak kerja dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan teratur. Program ini juga membantu ahli kumpulan untuk menyematkan rasa kepercayaan yang tinggi pada organisasi yang baru ditubuhkan di dalam kumpulan tersebut melalui nilai-nilai kepimpinan yang ditunjukkan oleh Ketua dan Penolong Kumpulan Al-Azraq iaitu Abu Bakar Mansor dan Ahlam Sofian dalam mengendalikan sesi penyusunan organisasi yang dijalankan.
Peribahasa melayu mengatakan “tak kenal maka tak cinta”, sememangnya amat sinonim dengan tujuan penganjuran program ini yang mana para pelajar dapat mengenal antara satu sama lain dan seterusnya dapat memupuk kasih sayang di antara pelajar. Semoga dengan penganjuran program ini dapat memberi manfaat kepada para pelajar semester baharu untuk terus bersemangat dalam menuntut ilmu sekaligus dapat menyumbang ilmu dan kemahiran kepada masyarakat.