Oleh: Dr. Nurzaimah Asalal (Fakulti Sains Kemanusiaan)

Tanjung Malim: Hari Sukarelawan Antarabangsa (International Volunteer Day) disambut setiap 5 Disember setiap tahun merupakan pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1985.

Program ini dilaksanakan adalah sebagai salah satu inisiatif untuk menghargai para sukarelawan terutama dalam kalangan mahasiswa serta para sukarelawan di Malaysia. Bagi Universiti Pendidikan Sultan Idris sendiri, penawaran kursus UPU3412 Kesukarelawanan sebagai subjek universiti mampu memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.

Isu-isu yang sering wujud dalam masyarakat kita adalah tentang bagaimana kesukarelawanan ini tetap bermotivasi dalam melaksanakan kerja sukarela. Selain itu, isu mendapatkan dana bagi sesebuah kerja sukarela juga sering menjadi masalah utama untuk mengerakkan kerja-kerja sukarela. Justeru, satu sesi Bicara Isu Sukarelawan yang bertajuk “Sukarelawan yang tak didendang” telah berlangsung semasa hari sambutan ini dengan menjemput ahli-ahli panel iaitu Datin Seri Nur Heliza Helmi, Dr. Ahmad Luqman Ahmad Shuhaili, yang merupakan pengerusi MYHEART dan Wan Khadijah Wan Sulong, sukarelawan MyfundAction untuk mengupas isu-isu berkaitan kesukarelawanan.

Pada majlis yang bermakna ini, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni selaku perasmi program menyatakan, aspek kesukarelawanan kini sudah semakin luas, bukan sahaja ketika banjir semata atau misi-misi pasca banjir. Sebaliknya, sukarelawan juga membantu golongan-golongan berisiko seperti anak yatim, warga tua, oku dan lain. Bagi menghargai golongan mahasiswa yang terlibat dalam kesukarelawanan, pemberian anugerah dan penghargaan kepada mahasiswa yang terpilih pada hari sambutan ini juga telah disampaikan oleh Prof. Dr. Norkhalid Salimin.

Sambutan Hari Kesukarelawanan ini dipercayai mampu meningkatkan lagi kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang pentingnya penghargaan kepada golongan sukarelawan. Hari sambutan ini juga diharapkan dapat menggalakkan lagi para mahasiswa untuk terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan bukan sahaja ketika menjadi pelajar tetapi sehingga mereka berkhidmat di mana-mana sahaja. Menurut Timbalan Naib Canselor HEPA, UPSI adalah satu-satunya universiti yang mempunyai team tersendiri untuk digerakkan ketika berlaku bencana iaitu Resq Team serta dengan adanya team daripada Fakulti Sains Kemanusiaan iaitu V-FSK4U mampu meningkatkan lagi aspek kesukarelawanan di UPSI.

“Saya mahu pelajar-pelajar pergilah turun ke komuniti berjumpa dengan golongan anak yatim, OKU, warga tua serta orang asli, bantu mereka dan bersama-sama bekerjasama membantu komuniti sekitar Muallim mahupun seluruh negeri,” kata Timbalan Naib Canselor HEPA yang amat bermakna buat semua para peserta.

Ketika majlis berlangsung sebanyak lima kategori anugerah telah disampaikan iaitu Anugerah Tokoh Sukarelawan Fakulti Sains Kemanusiaan Kepada Fazilahwati Jalalkamis (Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan merangkap Ketua Pelajar team V-FSK4U), Anugerah Penglibatan Misi Pasca Banjir di Terengganu yang dianugerahkan kepada Willinton Anak Ajing dan Zahi Zayani Shamsuddin pelajar dari Jabatan Moral, Sivik dan Karekter FSK, Anugerah Penglibatan pelajar dalam ResQ Team kepada Mohamad Aidil Aimin Abdullah dan Tenny Anak Chabu dari Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan. Seterusnya Anugerah Penglibatan pelajar dalam Program Recycle and Low Carbon UPSI kepada Stefeny Anak Ripin, Endrie Ului dan Adam Khaliq Abd Aziz  yang merupakan pelajar dari Fakulti Sains Kemanusiaan.

Pada program ini juga seramai tujuh orang mahasiswa memperoleh Anugerah Khidmat Komuniti iaitu Lionel Elis@Louis (FSK), Reklie Ristol (FSK), Auni Zakiah Mohd Nadhir (FSK), Muhammad Aliff Ikhwan Arifpuddin (MPP Kesukarelawanan), Muhammad Danial Hasim (META), Ee Guang Yuan (FBK) dan Nur Sakinah Rose Abadi (FTV).

Turut hadir Ketua Jabatan, Jabatan Pengajian Malaysia Dr. Kalsum Umar dan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti, Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah.