Oleh: Nursyazwani Nadhirah & Aldianie Alim
TANJUNG MALIM: Alam kerjaya kini telah menjadi suatu medan persaingan sengit dalam kalangan graduan bagi mendapatkan peluang pekerjaan yang mampu menjamin masa depan. Dalam situasi yang mencabar ini, mahasiswa perlulah mengambil langkah proaktif dalam mengasah dan melengkapkan potensi diri dari aspek akademik, kokurikulum dan kemahiran insaniah dan ilmu teknikal di samping membina jaringan sosial yang luas dengan komuniti di sekeliling mereka.
Sebagai persiapan kepada mahasiswa UPSI dalam menangani cabaran ini, penganjuran Projek Sinergi Usahawan: Model ‘Starting–Polishing–Finishing’ (SPF) School Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan telah berlangsung pada 02 Disember yang lalu. Program ini melibatkan jalinan kerjasama antara Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) dan Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (MMKAHS).
Menerusi program ini, pihak Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) telah memberikan geran penyelidikan kepada lima kumpulan penyelidik dalam membangunkan modul yang meliputi bidang kesihatan, etika, kepimpinan, keusahawanan, literasi digital dan modul usahawan tadika. Modul ini kini dikenali sebagai Model ‘Starting–Polishing–Finishing’ (SPF) School Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan yang memberi ruang kepada mahasiswa untuk meneroka ilmu pengetahuan dan kemahiran insaniah dalam bidang tersebut melalui perkongsian daripada panel penceramah jemputan.
Pengetua Kolej Awang Had Salleh, Dr. Mardiana Ismail berkata bahawa penganjuran program ini merupakan satu inisiatif yang sangat bagus dalam mempersiapkan mahasiswa UPSI untuk menghadapi alam pekerjaan.
“Mahasiswa kini perlu sentiasa bergiat aktif dalam program-program anjuran pihak kolej terutama apabila adanya kerjasama dengan organisasi lain. Hal ini supaya mereka tidak ketinggalan juga dalam mempelajari soft skills yang kurang diterapkan semasa sesi kuliah yang berfokus kepada pembelajaran berpusatkan guru semata-mata.”


Timbalan Pengarah Program, Adib An’nasrullah menzahirkan rasa bangga terhadap sambutan yang diberikan oleh mahasiswa UPSI terhadap program ini.
“Setiap aktiviti adalah pembelajaran. Saya berharap agar segala ilmu yang diperoleh daripada perkongsian panel penceramah dapat memberikan manfaat kepada mahasiswa agar lebih bersedia dalam menempuh alam pekerjaan pada masa akan datang”, katanya.
Beliau juga turut berterima kasih kepada pihak EDGE kerana telah memilih MMKAHS sebagai rakan kerjasama untuk menganjurkan program tersebut. Tambahan pula, program ini dianggap sebagai salah satu medium kepada MMKAHS untuk membina jaringan kerjasama dengan organisasi lain di UPSI.
Program ini diharapkan berupaya menjadi satu titik tolak kepada mahasiswa untuk mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan bagi merebut peluang pekerjaan yang menanti selepas mereka bergraduasi daripada menara gading. Sokongan yang diberikan oleh semua pihak secara tidak langsung telah membantu pihak penganjur untuk mencapai objektif pelaksanaan program.

Sekalung ucapan tahniah dan jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur dan semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan pelaksanaan Projek Sinergi Usahawan : Model ‘Starting–Polishing–Finishing’ (SPF) School Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan.