Oleh: Dr. Anis Diyana binti Halim

Tanjong Malim: Isu kepadatan kandungan kurikulum sering kali dibahaskan pada masa kini. Oleh itu, reformasi terhadap kurikulum dengan mengintegrasikan kurikulum pelbagai subjek diperkenalkan melalui kurikulum pendekatan neoterik.

Menyokong pembangunan pendekatan neoterik yang dibangunkan oleh penyelidik di UPSI, program ‘STEAM Muallim’ diadakan di dua buah sekolah rendah di daerah Muallim iaitu SK Proton City (SKPC) dan SK Tanjong Malim (SKTM). Program ini melibatkan 40 orang murid dan 3 orang fasilitator yang terdiri dari pelajar pasca siswazah Fakulti Sains dan Matematik (FSM).

Program ‘STEAM Muallim’ di SK Proton City

Tujuan program ini diadakan adalah untuk menarik minat murid terhadap bidang STEM melalui pendekatan neoterik. Pendekatan ini adalah berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan akan turut digunakan oleh Sekolah Rendah Seri Budiman, sekolah rendah swasta milik penuh UPSI yang akan menerima kemasukan murid Tahun 1 bermula Mac 2024.

Program yang diadakan ini berkonsepkan pembelajaran berasaskan projek merentasi mata pelajaran dan tahun yang berbeza. Mata pelajaran yang diintegrasikan dalam program ini adalah Sains, Matematik, Pendidikan Seni dan Rekabentuk dan Teknologi. Pada program ini, murid belajar melalui projek “Kelestarian Tenaga Hijau” yang dirancang dan dibangunkan mereka.

Hasil projek yang dibangunkan oleh murid di SK Proton City
Hasil projek yang dibangunkan oleh murid di SK Tanjong Malim

Hasil program selama tiga hari di sekolah-sekolah yang terlibat, murid-murid berupaya mempelajari pelbagai kandungan mata pelajaran melalui projek yang dihasilkan. Hasil maklum balas murid-murid yang terlibat, mereka berasa seronok untuk belajar melalui pendekatan yang diperkenalkan. Secara tidak langsung, program ini turut memberi pendedahan kepada guru-guru Sains di daerah Muallim khususnya mengenai pelaksanaan pendekatan neoterik di sekolah.

Program ini juga mendapat sokongan dan kerjasama dari pihak pentadbir di SKPC dan SKTM. Menurut guru besar SKPC, En Kamarul Azizi bin Oree, program seperti ini mempereratkan lagi kerjasama antara SKPC dan UPSI selain membantu perkembangan pembelajaran murid-murid.