Oleh : Ain Safina Arrisha Khairul Nizam

Kuala Lipis –  Persatuan Multimedia Kreatif (PMK), Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan kerjasama pihak sekolah SMA Al- Maidah Addiniah telah melaksanakan program SkillScape: The Talent Expedition atau lebih dikenali sebagai Skill Based-Talent With PMK dari 8 Disember hingga 10 Disember 2023. Program ini telah disertai seramai 45 orang iaitu terdiri daripada 30 orang pelajar yang merupakan ahli kelab multimedia, 4 orang guru dan 10 orang pelajar ahli persatuan beserta 1 orang pengiring.

Barisan Persatuan Multimedia Kreatif UPSI bersama En. Khairul Anwar bin Md Isa (pengiring)

Program berimpak positif ini memfokuskan pengajaran kemahiran bijak digital kepada pelajar sekolah tersebut. Salah satu kemahiran asas  yang diterapkan ialah penggunaan Microsoft Word, Microsoft Excel, Microsoft Power Point dan Canva. Kemahiran yang dinyatakan sangat penting untuk mereka pelajari untuk kegunaan pada masa akan datang terutamanya pada pengajian peringkat tinggi kelak. Di samping itu, kami juga menerapkan kemahiran menyunting video menggunakan aplikasi CapCut dengan menggunakan telefon pintar masing-masing. Perkara ini telah diberi kebenaran oleh pihak atasan sekolah. Oleh itu, mereka dapat mempelajari menghasilkan sebuah video yang kreatif tentang memperkenalkan sekolah mereka.

Dengan adanya program ini, secara tidak langsung mereka dapat memperkukuhkan semangat kerjasama dalam kumpulan, kemahiran komunikasi dan interpersonal serta pengurusan yang baik seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Lima orang ahli PMK bergambar dengan hasil karya lukisan doodle

Akhir sekali, wakil daripada Persatuan Multimedia Kreatif telah menyumbang tenaga dan masa untuk menghiasi dinding sekolah dengan lukisan yang bertemakan teknologi dan digital sebagai tanda kenang-kenangan daripada pihak persatuan. Program Skill-Based Talent ini sewajarnya diteruskan pada masa akan datang kerana ia memberikan banyak input dan faedah berguna kepada pelajar-pelajar sekolah terutamanya bidang yang selari dengan zaman teknologi canggih ini. Harapan daripada pihak persatuan agar mereka dapat terus mempelajari dengan lebih dalam tentang pelbagai kemahiran digital.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)