Oleh: Dr Syazwani Aniyah Manja & Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi (NCDRC)
Tanjong Malim: Belajar sambil bermain adalah pendekatan pembelajaran yang sangat sesuai untuk diaplikasikan dalam dunia pendidikan prasekolah. Ia banyak membantu perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh dalam pelbagai aspek sama ada sensori, daya tahan otot, kognitif dan sosial.
Creative Touch atau sentuhan kreatif membolehkan pendidik memanfaatkan daya fikir mereka dengan lebih kreatif dan kritis dalam merencanakan setiap aktiviti kanak-kanak. Dalam metode ini, pendidik akan menghasilkan program-program berimpak tinggi dengan menghadirkan pelbagai sentuhan kreatif dalam pembelajaran yang dikemas dengan kaedah penyampaian yang menarik serta variasi senarai aktiviti untuk meningkatkan motivasi dan keterlibatan kanak-kanak sekaligus memberikan mereka pengalaman yang dapat digunakan dalam kehidupan harian.
Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) menganjurkan Kem Manjaku Pintar Siri 2 yang berlangsung selama 5 hari bermula 18 hingga 22 Disember.
Program ini melibatkan pendidik di Tadika Bitara NCDRC bersama 50 orang kanak-kanak yang terdiri dari usia 5-6 tahun. Kem ini dikelola penuh oleh Unit Perkembangan Kanak-kanak Taska Tadika NCDRC dibawah penasihatan Dr Masayu Dzainuddin, Timbalan Pengarah Akademik, Perkembangan Kanak-kanak, Sistem Data dan IT.
Menurutnya, kem ini mempunyai matlamat penuh dalam menghadirkan sesuatu yang bermanfaat dan berimpak besar terhadap pembangunan kognitif dan sahsiah mereka sewaktu cuti sekolah.
Noerlme Mokhtar, Pengarah Program menyatakan bahawa kem ini adalah untuk membantu ibu bapa dan kanak-kanak memenuhi masa cuti sekolah ini dengan aktiviti-aktiviti yang meransang pemikiran kreatif mereka dan mendapat pengetahuan serta pengalaman baru yang bermakna dalam hidup mereka.
“Setiap slot yang diisi mempunyai penekanan terhadap objektif dan perkembangan yang mereka ingin capai. Ia akan memberi ruang dan peluang kepada kanak-kanak untuk membantu meningkatkan perkembangan mereka dari segi komunikasi, kerohanian, sikap dan nilai, kemanusiaan, logical thinking, kreatif dan kritis, keterampilan diri, fizikal dan estetika, serta sains teknologi yang memacu daya kemahiran berfikir aras tinggi,” katanya.
Kali ini, Kem Manjaku Pintar Siri 2 menghadirkan pelbagai slot diantaranya Sport Smart Outdoor, Puppet Show and Library Tour, Kemahiran Asas Jahitan, Kemahiran Mencanting Batik dan Little Kids Big Hearts.
Menurut Mimi Baijura Mohd Yusuf, ketua aktiviti Kemahiran Mencanting Batik menjelaskan bahawa aktiviti ini merangsang kemahiran motorhalus dan membuka idea kanak-kanak untuk lebih faham berkaitan koordinasi campuran warna untuk menghasilkan corak yang cantik.
“Melalui aktiviti membatik ini, kanak-kanak belajar bagaimana untuk memainkan campuran pola warna untuk menghasilkan sebuah warna dalam corak yang cantik. Ia juga dapat membantu meransang daya koordinasi mata dan tangan mereka sekaligus meningkatkan daya tumpuan dalam menjalankan aktiviti yang diberikan kepada mereka,” katanya.
Kem cuti sekolah ini juga mendapat reaksi yang baik dari kalangan ibu bapa kanak-kanak. Wakil ibu bapa, Nor Safwan Muhamad menyatakan kem ini banyak memberi pengalaman baru dan keseronokan serta semangat untuk ingin ke sekolah.
“Alhamdulillah, saya lihat kebahagiaan di wajahnya apabila menyertai aktiviti program cuti sekolah. Bangun pagi terus nak kesekolah. Antara aktiviti yang disukai apabila balik rumah terus bercerita dia ada buat puppet guna stoking, mencanting batik dan menjahit beg dan topi. Anak saya juga didedahkan dengan aktiviti CSR. Saya harap NCDRC akan terus menganjurkan aktiviti seperti ini lagi,” katanya dalam temubual bersama pendidik.
NCDRC akan terus komited menganjurkan program-program berimpak tinggi untuk perkembangan dan pembangunan sahsiah kanak-kanak. NCDRC sentiasa memastikan setiap keperluan kanak-kanak disajikan dengan sempurna sehingga mampu menjadikan NCDRC dan UPSI peneraju kebitaraan pendidikan terbaik khususnya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.