Sepanjang Disember 2023, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan telah menjalankan sesi perkongsian ilmu bersama Pertubuhan Seni Gayong Fatani Malaysia (PSGFM) dan Persatuan Taekwondo ITF Negeri Perak. Program dijalankan dengan menggunakan dana daripada Geran Knowledge Transfer Program oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, UPSI. Selain itu, program turut mendapat tajaan dari kedua-dua persatuan terutama dari segi penyediaan tempat dan makan minum peserta.
Dr. Ali dan Dr. Ebby bersama sebahagian wakil jurulatih Pertubuhan Seni Gayong Fatani Malaysia
Program pemindahan ilmu yang bertajuk ‘Aplikasi Sains Sukan dalam Seni Mempertahankan Diri’ ini dijalankan oleh para pensyarah yang juga penyelidik UPSI yang menyampaikan ilmu asas sains sukan seperti Biomekanik, Suaian Fizikal, Pemakanan, Analisis Permainan dan Rehabilitasi kepada jurulatih-jurulatih yang terlibat sebagai peserta.
Menurut ketua projek, Dr. Ali, program ini berjaya memberi penerangan kepada jurulatih mengenai asas latihan suaian fizikal dan bagaimana jurulatih boleh menjalankan analisis teknikal tendangan dengan hanya menggunakan telefon bimbit mereka secara percuma. Selain itu, Dr Ebby Waqqash berkata, jurulatih berjaya mempelajari teknik asas senaman untuk rehabilitasi yang boleh diaplikasi oleh atlet mereka yang mengalami kecederaan ketika menyertai pertandingan.
Menurut Puan Mirza Azny Mustafa, jurulatih sangat teruja dengan pengetahuan pemakanan sukan yang disampaikan, sekaligus menolak beberapa pemahaman tidak berasas yang dipelajari hanya melalui laman media sosial tanpa disokong dapatan kajian. Akhir sekali, sesi analisis permainan yang disampaikan oleh Cik Nor Fazila turut mendapat sambutan apabila peserta berupaya mempelajari bagaimana merakam dan mengenalisis prestasi atlet mereka ketika perlawanan dalam usaha menambahbaik taktikal pada kejohanan akan datang.
Program ini mendapat sambutan yang baik dengan penyertaan lebih kurang 60 peserta yang rata-rata merupakan jurulatih silat dan taekwondo dari pertubuhan tersebut. Wakil PSGFM, Grandmaster Safwan berkata, program seumpama ini memberi peluang kepada para jurulatih untuk mempelajari sains sukan untuk diaplikasi kepada atlet mereka dan membuatkan mereka lebih menghargai pentingnya ilmu yang dibuktikan melalui dapatan kajian untuk digunakan dalam sukan ini. Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak UPSI dan berharap program seumpama ini akan berlangsung lagi pada masa akan datang.
Dr. Ali menunjukkan cara melakukan senaman dengan teknik yang betul