Oleh: Nor Hafizah Md Husin, Nor Suriya  Abd Karim, Rawdah Adawiyah  Tarmizi, Sabarina  Shafie

Tanjong Malim: Bertemakan tautan ukhuwah, gaya hidup sihat dan keusahawanan, Unit Pembangunan Profesional dan Kebajikan Pensyarah Jabatan Matematik, Unit Penjanaan Jabatan Matematik dan Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU) telah menganjurkan program DoMaths Day 2024 pada 12 dan 13 Januari bertempat di Fakulti Sains dan Matematik dan Arena UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah. Program ini melibatkan sinergi jawatankuasa dalam kalangan pensyarah dan pelajar. Jawatankuasa pelajar diketuai oleh Nur Sabrina Nor Lizam selaku Pengarah Program.

Empat subprogram dilaksanakan bagi memenuhi tema program ini iaitu DoMaths Night, Pasar Lokal, Fun DoMaths dan Sports Day. Program dimulakan dengan DoMaths Night yang berjaya mengumpul seramai 150 penyertaan daripada pelajar, pensyarah Jabatan Matematik dan keluarga. Berkonsepkan majlis Barbeque, subprogram ini bertujuan mengeratkan hubungan ahli Jabatan Matematik serta mewujudkan suasana harmoni sesama ahli. Program ini juga dimeriahkan lagi dengan sesi cabutan bertuah dan persembahan daripada para pelajar serta turut dihadiri oleh Dekan Fakulti Sains dan Matematik, Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah.  

Program diteruskan pada hari kedua dan ketiga subprogram. Program Pasar Lokal yang menekankan aspek keusahawanan melibatkan pembukaan 26 gerai makanan dan pakaian daripada peniaga sekitar daerah Muallim bermula dari 8.00 pagi sehingga 6.00 petang. Turut berlangsung pada hari yang sama ialah program kesukanan iaitu Fun DoMaths dan Sports Day. Futsal, badminton, dan bola jaring merupakan tiga sukan yang dianjurkan di bawah program Sports Day.

Penyertaan adalah sebanyak 10 pasukan futsal yang diwakili 7 orang pemain setiap kumpulan, 6 pasukan bola jaring yang diwakili oleh 4 orang pemain dan 12 pasukan badminton beregu campuran dan wanita. Sebanyak sembilan permainan yang dipertandingkan di dalam program Fun DoMaths dan melibatkan penyertaan daripada seramai 120 peserta yang terdiri daripada pelajar dan pensyarah di bawah Jabatan Matematik.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah dijalankan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Sains dan Matematik, Dr. Mohd Ikhwan Hadi Yaacob. Beliau berharap agar penganjuran program seperti ini dapat diteruskan dan penglibatan lebih ramai pelajar bagi mewujudkan suasana kehidupan di kampus yang lebih seimbang dan sihat.