Oleh: Nurul Hakimah Che Abdullah & Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib
Tanjong Malim: Persatuan Geografi (PERGEO) Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah pengurusan Exco Akademik dan Kerjaya telah menganjurkan sebuah Program Geotalk: Bual Bicara Hala Tuju Kerjaya dalam Bidang Geografi pada 13 Januari yang lalu.
Program ini merupakan sebuah program bual bicara intelektual yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar kursus AT33 (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Geografi) mengenai pilihan bidang kerjaya yang terdapat dalam bidang geografi yang berteraskan Amalan Pembangunan Lestari atau lebih dikenali sebagai Sustainable Development Goals (SDG) khususnya menekankan SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) melibatkan seramai 25 orang peserta daripada mahasiswa/i PERGEO di Bilik Interaksi FSK, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.
Program yang dijalankan ini bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai pilihan kerjaya yang boleh diceburi di bawah bidang Geografi. Selain itu, program ini juga bertujuan bagi meningkatkan motivasi pelajar dalam mempelajari ilmu Geografi pada peringkat universiti. Sebagai aktivis PERGEO, program ini membantu dalam memberi penekanan terhadap kepentingan mata pelajaran Geografi dalam memajukan pembangunan negara sekaligus memberi pendedahan kepada mereka tentang kemahiran dalam mengatasi cabaran Sustainable Development Goals (SDG) yang ke-8 : Menggalakkan Pertumbuhan Ekonomi yang Berterusan, Inklusif dan Mampan, Guna Tenaga Penuh dan Produktif Serta Kerja yang Bersesuaian untuk Semua).
Panel jemputan iaitu Dr Nur Hazwani Abdul Bahar plant scientist di Forest House Sdn Bhd berkongsi pengalaman dan memberi kesedaran serta pengetahuan baharu berkaitan dengan bidang geografi yang memainkan peranan penting terhadap dunia pertanian dan landskap alam sekitar. Pelbagai peluang kerjaya yang menarik dapat diceburi oleh pelajar geografi selain daripada bidang pendidikan.
Muhammad Lutfi Lokman Fikry, guru di Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, Perak selaku panel kedua telah berkongsi pelbagai isu berbangkit dalam bidang geografi khususnya di peringkat sekolah dan cara mengatasinya. Pandangan serta stigma masyarakat terhadap bidang geografi yang kian dianggap tidak penting kian menjadi ancaman terhadap dunia pendidikan geografi. Oleh itu, besar peranan guru geografi dalam menyuntik kembali kesedaran serta ilmu pengetahuan kepada masyarakat dan pelajar berkaitan dengan bidang ilmu geografi.
Program ini turut dihadiri oleh Yang Di-Pertua PERGEO, Bushra Assyakira Baharil dan Bendahari persatuan iaitu Nurhafizah Fadzil. Program ini juga telah dipimpin oleh seorang Pengarah Program iaitu Edna Sharmine Anak Dadoi dan dibantu oleh Timbalan Pengarah Program iaitu Raieno Mansawit daripada Exco Akademik dan Kerjaya Persatuan Geografi sidang 2023/2024.
Bushra berkata, “Program ini memainkan peranan yang signifikan untuk individu ke arah mengejar peluang kerjaya yang menarik. Program ini merupakan platform untuk memahami dan menjelajahi pelbagai bidang kerjaya yang berkaitan dengan Geografi.”
Selain itu, beliau juga berkata bahawa program ini membuka ruang interaksi antara mahasiswa dan mahasiswi UPSI bersama tetamu jemputan yang profesional dalam bidang Geografi yang mana program ini bukan sahaja sekadar hanya memberi peluang untuk bertanya soalan dan mendapat nasihat secara langsung, namun program ini dapat membina rangkaian profesional yang berkaitan.Rangkaian ini menjadi aset berharga dalam dunia pekerjaan yang membolehkan individu tersebut mendapat peluang kerjaya yang mungkin sahaja tidak tercapai tanpa hubungan yang kukuh.
Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya membuka mata para peserta bahawa kerjaya dalam bidang geografi itu tidak hanya terhad kepada bidang pendidikan sahaja. Ianya merupakan sebuah bidang yang meluas dan penting kepada negara kerana bidang geografi merupakan bidang terunggul dalam menerajui kelestarian alam sekitar.
Program GeoTalk: Bual Bicara Hala Tuju Kerjaya Dalam Bidang Geografi ini secara tuntasnya telah berjaya memberi inspirasi kepada para pelajar geografi agar terus mengorak langkah dalam menceburi pelbagai bidang kerjaya geografi.
Keseluruhannya Program Geotalk: Bual Bicara Hala Tuju Kerjaya dalam Bidang Geografi ini berjalan dengan baik dan tersusun serta berjaya memberi impak positif kepada semua peserta. Diharapkan dengan anjuran program pada kali ini, menjadi dorongan dan perangsang kepada aktivis PERGEO untuk meneroka bidang geografi dengan lebih mendalam dan tidak terhad kepada bidang tertentu sahaja.