Oleh: Dr. Nurzaimah Asalal (FSK)
Tanjong Malim; 1 Februari 2024 – QBE Foundation merupakan salah satu syarikat yang mempunyai tujuan untuk membolehkan masa depan yang lebih berdaya tahan. Melalui Yayasan QBE, aktiviti atau program dilaksanakan bagi meningkatkan daya tahan dan kesediaan komuniti melalui perkongsian jangka panjang yang akan membantu orang ramai untuk membantu diri mereka sendiri, seperti melalui pendidikan dan meningkatkan kesedaran tentang risiko supaya orang ramai dan komuniti lebih bersedia untuk melindungi diri mereka sendiri.
Selaras dengan matlamat QBE Foundation ini beberapa program kesukarelawanan telah dilaksanakan oleh Team V-FSK4U. Terdapat tiga program utama iaitu Program Sarapan dan Motivasi, Program Persediaan Bencana dan Program Kitar Semula dan Inovasi. Program Sarapan dan Motivasi telah melibatkan hampir 300 orang murid sekolah di SK Behrang, SK Pos Gedong, Bidor dan SK Sahom, Kampar di negeri Perak. Menurut Guru Besar SK Behrang ketika itu, “program sebegini dapat menarik minat murid ke sekolah terutama murid-murid orang asli. Kebanyakan mereka kurang motivasi tetapi dengan penganjuran program sukarelawan oleh pelajar UPSI, murid-murid sangat teruja untuk bersama-sama melaksanakan aktiviti yang dirancang,” katanya semasa perbincangan pelaksanaan program.
Justeru, impak program kesukarelawanan ini juga amat besar kepada pihak sekolah dengan membantu meningkatkan kehadiran dalam kalangan murid terutama murid orang asli. Keadaan ini sama dengan sekolah murid orang asli di SK Pos Gedong, Guru Besar SK Pos Gedong melihat keadaan sekolah mereka yang agak terpencil dan sukar untuk didatangi pelawat menjadikan mereka tidak berharap adanya pelaksanaan program ini. Namun menurut beliau, ini selaras dengan definisi sukarelawan itu sendiri iaitu membantu tanpa adanya halangan dan berani menyahut cabaran dan risiko.
Begitu juga dengan program kitar semula dan inovasi yang juga kini sudah mendapat perhatian dalam kalangan sukarelawan. Pendedahan kepada aspek kitar semula kepada komuniti terutama pelajar sekolah menjadikan peranan sukarelawan semakin ketara. Program Kitar Semula dan Inovasi telah melibatkan murid sekolah SMK Methodist, Tanjong Malim dan SRAR At-Taqwa Proton City pada 8 dan 12 Januari.
Berdasarkan pelaksanaan program-program ini, ianya juga dapat membuka ruang kepada syarikat-syarikat yang ingin melaksanakan program CSR dengan melibatkan pelajar universiti yang lebih dekat dengan komuniti.